SHAH ALAM – Sebagai salah satu peneraju dalam industri e-sukan, TODAK telah mengambil peranan penting dalam merealisasikan usaha Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi dalam memperkasakan e-sukan di peringkat sekolah melalui penganjuran Selangor Future Cup (SFC).
Menerusi kerjasama dengan Selangor Red Giants (SRG), kejohanan ini bertujuan untuk mengembangkan bakat muda yang berpotensi menjadi atlet profesional dalam dunia esukan.
Timbalan Presiden Kelab Sukan Elektronik TODAK, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri berkata, selain daripada menguruskan pertandingan SFC, TODAK turut berperanan sebagai rakan pembangunan atlet.
TODAK menawarkan biasiswa pendidikan penuh kepada pasukan yang menjadi juara sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa bakat-bakat muda di negeri ini.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan SRG dalam menyediakan peluang kepada generasi muda, khususnya pelajar sekolah, untuk mengasah bakat mereka dalam bidang esukan,” katanya.
Apa yang menarik dalam kejohanan kali ini adalah penekanan terhadap pendidikan.
TODAK Academy telah menawarkan biasiswa penuh bernilai RM160,000 untuk Diploma Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 4) dalam Creative Content Development kepada kesemua enam ahli pasukan yang berjaya menjadi Juara.
“Kami berharap lebih banyak institusi pendidikan akan turut serta pada masa hadapan untuk menyokong usaha kami dalam memberikan keseimbangan antara pendidikan dan arena e-sukan,” katanya.

Penganjuran kejohanan seperti SFC ini juga menjadi platform penting bagi TODAK untuk mencari bakat-bakat baru di kalangan atlet sekolah.
TODAK berharap dapat menyerap atlet-atlet muda ini ke dalam program pembangunan yang akan memberi pendedahan di peringkat profesional dan di peringkat negeri, seperti SUKMA.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak MSN Negeri Selangor dalam usaha ini.
“Dengan tema utama “Lahirnya Legenda”, kejohanan ini bertujuan melahirkan atlet-atlet yang mampu mengharumkan nama Selangor di pentas sukan negara,” katanya lagi.
SFC bukan hanya bertujuan untuk mencari bakat, tetapi juga untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap industri e-sukan.
TODAK berharap melalui kejohanan ini, masyarakat akan melihat lebih banyak kejayaan atlet-atlet muda di peringkat negeri dan antarabangsa, seterusnya meletakkan e-sukan di landasan yang betul.
SFC 2025 yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025, akan membabitkan 64 sekolah menengah di seluruh Selangor dalam pertandingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB). Kejohanan ini juga mendapat sokongan daripada pihak AEON, yang menawarkan AEON Mall Shah Alam sebagai venue rasmi kejohanan.
Kejohanan ini juga membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan e-sukan sebagai sukan arus perdana.
Melalui kolaborasi SRG dan TODAK, mereka akan menyediakan bimbingan profesional kepada peserta.
Sokongan daripada rakan-rakan strategik ini diharapkan dapat membantu memperkasa industri e-sukan serta membuka ruang bagi pembangunan ekosistem keusahawanan digital dan industri kreatif di negeri Selangor.
“Terima kasih kepada Najwan, MSN, serta SRG atas kerjasama ini. Kami berharap usaha ini dapat memberi impak positif dalam perkembangan e-sukan di Selangor dan memberi peluang yang lebih luas kepada bakat-bakat muda,” kata Mohd Ikmal.
Kejohanan SFC 2025 bakal menjadi batu loncatan dalam membangunkan bakat e-sukan di Selangor dan mencipta lebih banyak atlet profesional yang mampu bersinar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.