Keputusan Kementerian Pelajaran mengekalkan jadual persekolahan seperti biasa sepanjang bulan Ramadhan menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat Islam. Langkah itu dilihat sebagai kurang peka terhadap keperluan umat Islam yang menjalani ibadah puasa, terutama melibatkan pelajar dan guru.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan, Rosman Nordin, selama puluhan tahun, waktu persekolahan sepanjang bulan Ramadhan diberi sedikit kelonggaran bagi menghormati amalan berpuasa serta memberi ruang kepada pelajar dan guru menguruskan ibadah dengan lebih selesa. Perubahan secara tiba-tiba ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar memahami keperluan rakyat, khususnya umat Islam.

Beliau menegaskan, pelajar sesi petang yang pulang lewat, terutama bergantung kepada pengangkutan awam, berdepan risiko terlepas waktu berbuka bersama keluarga. “Ada yang sampai ke rumah sekitar jam 7.30 malam atau lebih lewat. Ini menjejaskan amalan berbuka puasa sekeluarga, yang merupakan tradisi penting dalam bulan Ramadhan,” katanya.

Selain itu, umat Islam juga menitikberatkan amalan spiritual seperti solat terawih dan waktu berdoa sebelum berbuka. Jadual persekolahan yang padat dikhuatiri akan mengganggu pelajar menikmati keistimewaan waktu-waktu ini, sekaligus menjejaskan penghayatan mereka terhadap bulan yang penuh keberkatan ini.

Rosman turut mengingatkan kerajaan agar tidak mengabaikan sensitiviti agama dalam membuat keputusan berkaitan dasar pendidikan. Beliau percaya masih ada ruang untuk Menteri Pelajaran mempertimbangkan semula keputusan ini demi kebaikan semua pihak.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kerajaan Madani mengenai janji-janji reformasi yang pernah dilaungkan. Katanya, tindakan seperti ini hanya akan menimbulkan persepsi bahawa janji-janji itu sekadar retorik politik semata-mata.

Rosman berharap agar kerajaan mendengar suara rakyat dan menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan yang dipenuhi rahmat, bukannya perbalahan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa serta pelajar.

Leave a Reply