KUALA LUMPUR – Atas sambutan luar biasa yang diterima daripada pelanggan, gedung tekstil terkemuka negara, Jakel kembali menganjurkan acara Meet & Greet bersama dutanya di Jakel Mall, Kuala Lumpur hari ini.

Acara ini disambung ekoran kejayaan besar program Meet & Greet di Jakel Shah Alam pada 31 Januari yang lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata keputusan untuk meneruskan acara ini adalah sebagai menghargai pelanggan yang mungkin terlepas peluang mendapatkan baucar diskaun untuk pembelian baju Raya Aidilfitri di Shah Alam.

“Kami sangat teruja dengan sambutan yang amat luar biasa selepas pengumuman duta-duta Jakel dalam dua minggu yang lalu.

“Namun, kami menerima maklum balas daripada orang ramai yang tidak berpeluang mendapatkan baucar, dan mereka berharap acara Meet & Greet diteruskan.

“Oleh itu, bagi menghargai pelanggan setia, kami anjurkan program ini sekali lagi,” katanya.

Acara kali ini turut menampilkan beberapa selebriti terkenal seperti Fattah Amin, Amira Othman, Cik Epal, Elly Mazlein, serta Anzalna dan keluarga.

Turut memeriahkan program ini adalah anggota kumpulan pelawak Senariounion, Upin & Ipin, tiktoker Sallywho, dan pasangannya.

Pada sesi kali ini, pelanggan berpeluang untuk beramah mesra dengan barisan duta Jakel.

Selain itu, bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung, pihak Jakel juga telah membuka ruang niaga yang lebih luas dan berwajah baru di aras tiga Jakel Mall.

Ruang baru ini menempatkan koleksi terkini untuk remaja, anak kecil, dan ibu.

“Peningkatan ruang ini bertujuan memberi keselesaan pelanggan sambil menyediakan koleksi terkini dengan fabrik berkualiti tinggi.

“Kami juga telah memperbaiki kemudahan seperti parkir yang luas, tandas, dan tempat solat, selaras dengan moto kami untuk 2025: ‘Jakel, Barulah Raya’,” katanya lagi.

Bagi memudahkan pelanggan berbelanja, Jakel juga menyediakan kemudahan Easy Payment dengan kerjasama Maybank, Affinbank, RHB Bank, dan Bank Rakyat.

Pelanggan boleh membayar secara ansuran, dengan contohnya, pembelian RM500 boleh dibayar dalam lima kali dan RM1,000 dalam 10 bulan.

Sebagai tambahan, Jakel turut menambah 5,000 kakitangan sambilan di seluruh negara, termasuk 1,500 di Jakel Mall, untuk memperbaiki mutu perkhidmatan serta memastikan urusan pelanggan berjalan lancar.

Pihak Jakel juga mengalu-alukan lepasan sekolah dan penuntut kolej atau universiti untuk menyertai mereka sepanjang bulan Ramadan ini dan mempelajari selok-belok perniagaan.

Dengan pelbagai tawaran menarik dan penambahbaikan dalam perkhidmatan, Jakel terus komited dalam memberi pengalaman membeli-belah yang terbaik kepada pelanggan.

By Cynthia

Leave a Reply