Majlis Khatam Al Quran sempena menyambut bulan Ramadan al mubarak & Perasmian NGO Pertubuhan Wanita AnNur.
Kuala Lumpur, 19 Februari 2025 – Pertubuhan Wanita Annur secara rasmi dilancarkan hari ini dalam sebuah majlis yang disempurnakan oleh isteri kepada YB Datuk Seri Azmin Ali, Datin Seri Shamsidar Taharin. Majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah itu turut dihadiri oleh Pengerusi Pertubuhan Wanita Annur, Datin Norlia Tan Sri Abang Marzuki.

Pelancaran pertubuhan ini diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang disertai seramai 26 peserta wanita, diketuai oleh Puan Hajah Khalsom Adam. Acara tersebut diadakan sebagai simbolik menyambut ketibaan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, sekaligus mencerminkan nilai keagamaan yang menjadi teras perjuangan pertubuhan ini.
Menurut Bendahari Pertubuhan Wanita Annur, Puan Faridah Mohd Isa, penubuhan organisasi ini yang baru berusia beberapa bulan bertujuan untuk memberi tumpuan kepada program kebajikan dan pembangunan wanita, khususnya golongan ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan asnaf. Pertubuhan ini bercita-cita untuk menjadi platform yang memberi peluang kepada wanita untuk meningkatkan taraf ekonomi serta membina kehidupan yang lebih baik.

“Kami mahu membantu ibu-ibu tunggal dengan memberi peluang perniagaan kecil-kecilan supaya mereka mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri. Selain itu, bantuan juga akan disalurkan kepada anak-anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan,” ujar Puan Faridah.
Majlis perasmian ini dihadiri kira-kira 100 tetamu jemputan, terdiri daripada ahli keluarga peserta, masyarakat setempat dan rakan-rakan pertubuhan. Walaupun dianjurkan secara sederhana, kemeriahan jelas terpancar dengan sokongan padu yang diterima daripada orang ramai.
Pertubuhan Wanita Annur meletakkan prinsip ‘Memberi Kerana Sayang’ sebagai pegangan utama dalam setiap aktiviti dan program yang dijalankan. Pertubuhan ini berhasrat untuk terus mengadakan lebih banyak program kebajikan serta memperluaskan jaringan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin menyumbang atau menyertai usaha murni ini boleh menghubungi Datin Norlia di talian 019-2303129, Roselaili (Setiausaha) di 013-2671005, atau Puan Faridah (Bendahari) di 013-3805564 untuk maklumat lanjut.
Video Penuh: muka buku AA TV News
#khatamquran #pertubuhanwanitaannur #DatinNorliaTanSriMarzuki #FaridahMohdIsa #ramadanmubarak #NGO #wanita #asnaf #ibutunggal #kebajikan