KUALA LUMPUR – Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) memperkenalkan filem sulung terbitan mereka, POLONG, sebuah karya bergenre seram yang pastinya akan menjadi pilihan penonton.
Menyusuri trend perfileman yang kian pesat, filem seram terus mendapat perhatian, dan Polong hadir untuk memberikan pengalaman menonton yang mendalam dan menggerunkan.
Pengarah filem ini, Zulkarnain Azhar berkata, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan kerana jalan ceritanya yang mempunyai daya tarikan tersendiri.
“Polong bukan hanya sebuah filem seram, tetapi ia turut mengangkat tema dosa silam, legasi, dan akibat yang tidak dapat dielakkan daripada perbuatan masa lalu, terutamanya apabila membabitkan ilmu hitam.
“Filem ini lebih daripada sekadar elemen seram, ia menjadi simbolik kepada kegelapan yang ada dalam diri kita, sama ada akibat dosa masa lalu atau trauma yang sukar untuk diselesaikan,” katanya.
Polong menceritakan kisah Maria Hadi, seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam dan dihantui oleh dosa-dosa lampaunya.
Menjelang akhir hayatnya, Maria berusaha mencari keampunan, namun dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada seseorang yang tidak sepatutnya.

Polong berkenaan, yang dipenuhi dendam, berusaha membalas kematian Maria dan pewarisnya terpaksa menghadapi sumpah laknat yang ditinggalkan.
Penggambaran filem ini akan dimulakan pada bulan Mei 2025, dan Polong menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, dan Nadiya Nisaa.
Sementara itu, penerbit eksekutif filem ini Onn Norshal Hamzah, berkata pihak mereka memilih filem seram sebagai projek sulung syarikat kerana genre ini sentiasa mendapat sambutan hangat di kalangan penonton.
“Kami percaya genre seram masih memiliki permintaan yang tinggi di pasaran.
“Kami juga yakin dengan potensi filem ini untuk memberikan impak besar dalam industri perfileman tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Onn berkata, pemilihan Zulkarnain Azhar sebagai pengarah adalah keputusan yang tepat berdasarkan kejayaannya sebelum ini dengan filem-filem seperti Takluk, Air Force, dan J Revolusi.
“Kami yakin dengan pengalaman dan kreativiti Zulkarnain, filem ini pasti menjadi satu karya yang dinanti-nantikan oleh pencinta filem tempatan,” katanya lagi.

Filem ini turut mendapat sokongan daripada 10 Star Cinemas Sdn Bhd sebagai pengedar dan agen pemasaran.
Onn berkata, kerjasama dengan 10 Star Cinemas akan menjadi langkah strategik untuk memastikan filem ini sampai kepada penonton di seluruh negara, dengan kelebihan rangkaian pawagam dan pengalaman pengedaran mereka yang luas.
Polong dijangka menjadi sebuah karya seram yang bakal menggegarkan pawagam, dengan penceritaan yang kuat, kualiti penerbitan yang tinggi, serta daya tarikan komersil yang pastinya menarik perhatian penonton dari pelbagai lapisan masyarakat.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem seram yang penuh dengan elemen misteri dan kekuatan emosi ini.
Polong akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara tidak lama lagi.