KUALA LUMPUR – Peluang keemasan menanti usahawan serta peniaga kecil dan sederhana (PKS) apabila Karnival Warisan @ Saloma membuka pintunya sepanjang bulan Ramadan bermula 3 Mac hingga 28 Mac 2025 di Lanai @ MATIC, Kuala Lumpur.

Terletak di lokasi premium yang strategik, bersebelahan dengan restoran Saloma Kuala Lumpur, bazar ini menjadi platform terbaik untuk peniaga memaksimumkan jualan dalam suasana yang kaya dengan budaya dan warisan.

Dengan lebih 150 reruai jualan, bazar ini bakal menjadi tumpuan pembeli, termasuk golongan profesional, ekspatriat, dan pelancong di kawasan Segitiga Emas yang mencari pengalaman membeli-belah eksklusif dan unik.

Majlis perasmian karnival ini akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada 16 Mac 2025 (Ahad), jam 6 petang.

Karnival ini turut mendapat sokongan agensi kerajaan dan akan membabitkan penyertaan usahawan di bawah KUSKOP untuk memperluaskan pasaran dan memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung.

Selain KUSKOP, Karnival ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi di bawahnya untuk mempromosikan sektor pelancongan negara.

Presiden Saloma Kuala Lumpur Datin Ismariza Che Umar berkata, peniaga turut berpeluang memasarkan pelbagai produk seperti fesyen, aksesori, makanan tradisional, kelengkapan rumah, dan barangan keperluan Ramadan & Aidilfitri dalam persekitaran yang selesa dan strategik.

“Sebagai salah satu bazar utama di Kuala Lumpur, Karnival Warisan @ Saloma menawarkan kelebihan lokasi di kawasan pelancongan utama dengan aliran trafik tinggi, sekali gus memberikan visibiliti jenama yang lebih luas,” katanya.

Dengan harga tapak serendah RM5,000, peniaga akan menikmati akses kepada ribuan pengunjung setiap hari, terutama menjelang Syawal apabila permintaan terhadap barangan keperluan meningkat.

Bazar ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti tanah air yang akan turut serta dalam penjualan bazar serta menyertai sesi khas ‘Meet & Greet’.

Antara selebriti yang akan turut serta termasuklah Aidil & Fasha Sandha, Rozita Che Wan, Betty Banafee, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Fiz Fairuz, Syikin Maembong, Cat Farish, Jue Aziz, Cheb Ali & Azura Aziz, Nad Zainal, Aprena Manrose, dan ramai lagi.

Selain itu, pelbagai aktiviti promosi dan cabutan bertuah juga akan diadakan, termasuk peluang memenangi motosikal elektrik (EV) setiap minggu.

Pelbagai agensi kerajaan seperti KEMAS turut mengambil bahagian dengan menaja peniaga-peniaga di bawah kendalian mereka.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai perkhidmatan seperti kaunter diskaun, bayaran saman trafik oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, PDRM, serta kaunter bayaran zakat.

Sebagai tambahan, Karnival Warisan @ Saloma akan mendapat liputan media yang meluas menerusi platform digital serta kolaborasi bersama pempengaruh media sosial.

Dengan liputan media secara meluas ini, peniaga yang menyertai acara ini dijangka akan mendapat pendedahan maksimum.

Bazar ini juga menawarkan waktu operasi yang fleksibel, bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam, dengan acara jualan 24 jam pada minggu terakhir Ramadan.

Ini memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membeli-belah pada bila-bila masa tanpa kesesakan.

“Karnival Warisan @ Saloma adalah peluang terbaik untuk peniaga memperluaskan pasaran mereka di lokasi premium Kuala Lumpur.

“Dengan gabungan elemen warisan songket dan modern, bazar ini bakal menjadi destinasi utama bagi persiapan Syawal,” kata Ismariza lagi.

Sebagai penganjur, Saloma Kuala Lumpur juga memberi peluang kepada pelbagai agensi dan persatuan yang terbabit dengan PKS untuk mengambil peluang berniaga di “Heritage Fiesta @ Saloma” demi untuk meningkatkan pendapatan ahli atau peserta mereka.

Karnival ini menjanjikan pengalaman membeli-belah yang luar biasa sambil mempromosikan budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

By Cynthia

Leave a Reply