KUALA LUMPUR, 2 Mac 2025 – Ketua UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima oleh UMNO, MCA, dan MIC di WP di bawah kerajaan perpaduan. Beliau menyatakan bahawa parti-parti tersebut tidak dilayan sebagai rakan sejajar dalam kerajaan, malah tiada sebarang peruntukan atau kerjasama diberikan sejak kerajaan ini ditubuhkan.
Gulam Muszaffar yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO WP dan Pengerusi BN Parlimen Batu WP, menyatakan bahawa tiada perbincangan dua hala diadakan untuk membincangkan dasar atau kerjasama politik, katanya dalam dalam satu kenyataan medianya.
Beliau mendakwa bahawa Pengerusi PH WP tidak pernah mengiktiraf atau menghargai UMNO/BN WP, dan Menteri WP juga tidak berminat untuk berurusan dengan kepimpinan UMNO/BN.
Gulam Muszaffar turut menyentuh tentang ketiadaan undangan kepada UMNO/BN WP dalam majlis rasmi, walkabout, atau lawatan yang dihadiri oleh Perdana Menteri sendiri di parlimen WP. Menurutnya, UMNO/BN WP terpaksa bergerak sendiri dan mungkin perlu memikirkan langkah politik yang berbeza untuk menghadapi PRU16 jika keadaan ini berterusan.
Beliau menegaskan bahawa UMNO/BN WP juga mempunyai maruah yang perlu dijaga, dan tidak mahu dianggap sebagai “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”. Gulam Muszaffar mengingatkan agar jangan sampai “nasi sudah menjadi bubur” baru kerajaan perpaduan mencari mereka.
Gulam Muszaffar menyifatkan kenyataan Perdana Menteri tentang penghargaan kepada rakan kerajaan perpaduan sebagai “indah khabar dari rupa” atau sekadar ingin “menggelikan” mereka. Beliau berharap agar kerajaan perpaduan benar-benar menghargai sumbangan dan peranan UMNO/BN WP dalam memastikan kestabilan politik negara.