
KUALA LUMPUR, 3 Mac 2025 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menegaskan bahawa UMNO tidak akan kekurangan calon untuk jawatan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau yang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan menekankan bahawa parti UMNO mempunyai sejarah panjang dalam melahirkan pemimpin negara, dengan kesemua 10 Perdana Menteri Malaysia sebelum ini mempunyai kaitan dengan UMNO, sama ada secara langsung atau tidak.
“Ramai yang bertanya sama ada UMNO ada calon Perdana Menteri selepas PRU16. Jawapan saya mudah: Ada. UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri,” kata Gulam dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan siapa calon tersebut, sambil berjenaka, “Tidak boleh dijual awal sangat, nanti kena cah keting.”
Gulam menekankan bahawa fokus utama UMNO sekarang adalah memastikan kemenangan besar dalam PRU16. “Kita perlu pastikan kerusi yang dimenangi meningkat, sekurang-kurangnya sekali atau dua kali ganda daripada 26 kerusi sedia ada. Dalam politik, jumlah kerusi menentukan kekuatan dan kelebihan,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa cadangan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai calon Perdana Menteri oleh beberapa pemimpin dari kem pro-PMX perlu dilihat secara realistik. “Mencadangkan calon PM tidak salah, tetapi yang penting adalah memenangi pilihan raya terlebih dahulu. PH hanya mempunyai 82 kerusi ditambah 6 kerusi dari ahli yang lompat dari Bersatu. Secara matematik, mereka belum layak tanpa sokongan UMNO/BN,” jelasnya.
Gulam menutup kenyataannya dengan menyeru semua pihak untuk bersabar. “Akhir kata, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri ke-11 akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah PRU16 selesai. Tidak perlu kecoh awal-awal,” katanya sambil menyelitkan emoji senyuman.