KUALA LUMPUR – Projek 100 Lagu 100 Tahun tampil dengan satu inisiatif besar untuk menghidupkan kembali warisan muzik Melayu, mengumpulkan 100 lagu ikonik yang pernah memberi impak mendalam kepada industri muzik tanah air sepanjang satu abad.

Tujuan projek ini adalah untuk mempersembahkan kembali lagu-lagu klasik kepada generasi muda, sekaligus menjadi koleksi khazanah seni yang bernilai yang memaparkan evolusi muzik Melayu dari zaman ke zaman.

Projek ini bertujuan untuk merakamkan semula sejarah muzik Melayu yang kaya dengan mempersembahkan lagu-lagu popular dalam versi kontemporari tanpa mengubah keaslian karya asal.

Idea asal projek ini dicetuskan oleh Prof Emeritus Dato Seri Dr. Mohamad Mustafa Ishak, Pengerusi Eksekutif World Business Affairs Sdn Bhd, bersama dengan komposer dan produser terkenal, Dr. Azmeer.

Projek ini mula dirancang pada tahun 2016 hingga 2017 semasa Mohamad Mustafa menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, namun tertangguh beberapa faktor sebelum akhirnya direalisasikan dengan sokongan daripada Kementerian Komunikasi Digital dan Multimedia melalui Dana Kandungan Kreatif pada 2021.

Projek 100 Lagu 100 Tahun akan dibahagikan kepada empat volume, dengan setiap volume memuatkan 25 lagu.

Setiap volume akan diterbitkan dalam bentuk audio, visual, dan buku meja kopi yang mengimbau kembali sejarah penciptaan lagu-lagu terbabit, latar belakang lirik, serta kesan dan pengaruhnya dalam masyarakat ketika itu.

Kolaborasi antara World Business Affairs dan Luncai Emas Sdn Bhd memastikan penyebaran audio dan visual di platform digital, sementara penerbitan buku masih dalam perbincangan akhir.

Volume pertama koleksi ini menampilkan lagu-lagu seperti Ulek Mayang, Nuri Terbang Malam, Wajahmu Di Mana-Mana (Azlina Aziz), Kenangan Lalu (Flybaits), Madah Berhelah (Ziana Zain), serta Getaran Jiwa (P.Ramlee) dan Penantian (Kumpulan Harmoni).

Lagu-lagu ini dipilih kerana menggambarkan perubahan irama dan lirik yang memberi kesan besar dalam sejarah muzik tanah air.

Salah satu lagu yang menarik perhatian ialah Nuri Terbang Malam, yang dinyanyikan semula oleh Dato M. Nasir. Lagu yang pertama kali dirakamkan pada piring hitam sekitar 1903 oleh Gramaphone Company ini kini diangkat semula sebagai single pertama projek ini.

Ia dianggap sebagai lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan, dengan penyanyi asal Qasim.

Single kedua, Penantian yang asalnya dipopularkan oleh Kumpulan Harmoni, akan dinyanyikan semula oleh Lah Ahmad, dijangka dilancarkan pada 28 Februari 2025.

Lagu ini, ciptaan Allahyarham Zubir Ali, terkenal dengan elemen nostalgia muzik puisi.

Mohamad Mustafa berkata, mereka berbangga dapat mempersembahkan koleksi lagu yang mengukuhkan sejarah muzik Melayu.

“Sentuhan seni daripada kedua-dua Dr. Azmeer dan M. Nasir memberi jaminan bahawa nilai budaya dan keaslian lagu-lagu ini kekal relevan dalam era moden,” katanya.

Sementara itu, M. Nasir berkata, sebagai seorang penggiat seni, beliau ingin membawa karya Nuri Terbang Malam ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal-usulnya.

“Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” katanya.

Luncai Emas Sdn Bhd turut berperanan penting dalam pengedaran audio dan visual projek ini melalui pelbagai platform digital.

Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar, berkata, Luncai Emas bersetuju menjadi rakan kerjasama untuk projek ini kerana ia seiring dengan hala tuju mereka untuk mengangkat dan mengiktirafkan karya hebat.

“Kami berharap projek ini dapat diterima oleh generasi muda mengikut citarasa semasa,” katanya.

Sebagai ketua projek, Dr. Azmeer berharap buku yang akan diterbitkan dapat memperkenalkan lebih banyak maklumat tentang asal-usul lagu-lagu ini, memberikan ilmu dan manfaat kepada generasi muda agar mereka lebih mengenali dan menghargai lagu-lagu lama.

Beliau juga berharap projek ini dapat memberi inspirasi kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk memberi sokongan kepada penerbitan tiga volume seterusnya.

Pelancaran projek 100 Lagu 100 Tahun ini diharapkan dapat memperkukuh apresiasi terhadap warisan seni muzik Melayu, serta menghubungkan generasi lama dan baharu melalui keindahan muzik yang abadi.

By Cynthia

Leave a Reply