SUBANG JAYA, 8 Mac 2025 – Menjelang kedatangan Syawal 2025 tidak lama lagi, Yayasan PEKEMA sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam membantu golongan memerlukan dengan memperuntukkan RM600,000 untuk anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara. Inisiatif tahunan ini bertujuan meringankan beban mereka dalam menyambut hari raya.

Program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2025 dilancarkan hari ini di Mydin Mall USJ, Subang Jaya, dengan lebih 500 penerima menerima baucar membeli-belah bernilai RM200 setiap seorang. Program ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang bagi memastikan lebih ramai penerima dapat merasai manfaatnya.

oplus_0

Presiden PEKEMA, YBhg. Datuk Haji Mohamed Nazari Bin Noordin, menegaskan bahawa program ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga simbol keprihatinan dan solidariti masyarakat terhadap golongan yang kurang berkemampuan. “Kehadiran kita hari ini adalah tanda kasih dan sokongan kepada mereka yang memerlukan. Kami berharap program ini dapat membawa kegembiraan dan meringankan beban mereka,” katanya semasa merasmikan program tersebut.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Mydin Mall USJ, yang menjadi lokasi utama sesi membeli-belah raya penerima bantuan. Pengarah Urusan Mydin, YBhg Datuk Wira Dr. Hj Ameer Ali Bin Mydin, turut hadir bersama isteri dan barisan kepimpinan PEKEMA bagi menyampaikan sumbangan tersebut.

oplus_0

Antara penerima bantuan termasuk anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi seperti Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS), dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum. Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pihak untuk turut serta dalam membantu golongan yang memerlukan.

Datuk Mohamed Nazari juga menzahirkan harapan agar inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan. “Setiap sen yang disumbangkan adalah hasil keprihatinan mereka yang percaya bahawa kebajikan harus dikongsi bersama. Kami berharap lebih banyak pihak akan tampil membantu, terutama menjelang musim perayaan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, sambil menyeru agar semangat berkongsi dan membantu terus disemai dalam masyarakat.

Leave a Reply