MANILA – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Commission on Higher Education (CHED) Filipina merancang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya telah berkongsi inisiatif khas yang dirangka untuk CHED dengan tumpuan kepada aspek jaminan kualiti.
Beliau berkata, inisiatif itu dijangka akan dilaksanakan di Malaysia pada suku kedua 2025, dengan penyertaan sekitar 20 peserta yang terdiri daripada Pengarah Eksekutif dan Pengarah Kanan kelima-lima badan jaminan kualiti di Filipina, termasuk CHED.
Selain itu, katanya, CHED turut menyatakan minat untuk menjalin kerjasama strategik dengan MQA dalam usaha menanda aras inisiatif pendidikan fleksibel yang telah diperkenalkan di Malaysia.
“Perbincangan juga menyentuh mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dan CHED, di mana draf awal sedang dalam proses perbincangan dan akan diperhalusi dalam masa terdekat.
“Usaha sama ini akan mengukuhkan lagi imej negara dalam Pendidikan tinggi dengan rakan serantau di peringkat ASEAN dan seterusnya mampu membantu usaha menjadikan Malaysia sebagai hab Pendidikan global seperti dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Perbincangan lanjut diadakan selepas mesyuarat antara MQA dan Commissioner Marita R. Canapi dan wakil CHED bersempena dengan ASEAN Education Forum 2025, di sini, baru-baru ini.

Delegasi CHED dalam pertemuan itu turut disertai oleh Pengarah Jaminan Kualiti Institusi & Tadbir Urus, Dr. Raul F. Muyong; Ketua Pakar Program Pendidikan, Dr. Mildred M. Libot; Pakar Program Pendidikan Kanan, Ms. Jesusa Estanislao; dan Pakar Program Pendidikan II, Ms. Julie Anne C. Atudido.
MQA pula diwakili oleh Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (MQA International), Encik Muhammad Hasfarizal Kamaludin, serta Penolong Pengarah Kanan Seksyen Antarabangsa MQA International, Encik Fairul Nahar Baharudin.
Sebelum itu, Mohammad Shatar telah dijemput menyampaikan ucaptama pada The Accrediting Agency of Chartered Colleges and Universities in the Philippines (AACCUP) Annual National Conference yang dihadiri sekitar 900 peserta terdiri daripada AACCUP Lembaga Pemegang Amanah, Presiden Universiti Negeri dan Pengarah Akreditasi Pendidikan Tinggi dari seluruh Filipina.
Penganjuran persidangan selama tiga hari itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada universiti-universiti tempatan di Filipina berkaitan hala tuju pendidikan tinggi global.
Sementara itu, Pengerusi CHED, Prof. Dr. J. Prospero, menyatakan bahawa Filipina berhasrat mewujudkan satu standard amalan yang seragam bagi semua agensi jaminan kualiti yang dilantik CHED untuk menilai akreditasi institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara itu.
Katanya, kerjasama dengan MQA itu diharapkan dapat mengukuhkan usaha kedua-dua negara dalam meningkatkan standard jaminan kualiti pendidikan tinggi di peringkat serantau.