KUALA LUMPUR – Sebanyak RM33,687 berjaya dikumpul menerusi Program Kongsi Rezeki Infaq Ramadan Tahfiz Berselawat, yang diadakan baru-baru ini.

Dana yang dikumpul itu akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah di Keramat serta sebahagian daripadanya akan disalurkan kepada Adina Charity.

Program itu membabitkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk pelakon dan penyanyi Amaris, Pengerusi The Muslim World Women’s Summit, Dr. Raja Laila Rani Mohammad Abdullah, serta C.O.O SoftRein, Aman Rasyidi Mohd Noor.

Turut serta beberapa penaja lain seperti Bigo Live dan Bateriku.Com yang turut menyumbang bagi menjayakan misi program ini.

Selain itu, sebanyak 100 anak tahfiz turut menerima sumbangan duit raya pada majlis yang diadakan.

Mewakili penganjur, Amaris berkata, pihaknya terharu dengan sokongan padu yang diterima daripada pihak penaja, baik dalam bentuk wang tunai mahupun barangan.

“Saya sangat terharu kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

“Jika diikutkan, kami mengharapkan lebih, namun jumlah yang diterima sudah cukup untuk kami teruskan misi ini. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau turut berkongsi kegembiraannya dengan menerima tajaan dua buah kereta untuk kegunaan tahfiz, yang amat memudahkan urusan mereka.

Amaris berkata, pihaknya hanya bertindak sebagai sukarelawan bersama pasukan yang membantu melaksanakan misi ini.

“Setiap tahun, apa yang kami sasarkan, Alhamdulillah dipermudahkan dengan izin Allah. Kami berharap program ini dapat diteruskan pada tahun depan,” katanya.

Program ini berlangsung sepanjang tahun, tetapi lebih menarik perhatian sepanjang bulan Ramadan kerana banyak program disusun bagi membantu golongan yang memerlukan.

Amaris turut mengalu-alukan individu yang ingin memberi sumbangan secara langsung untuk menghubungi pasukannya dan hadir ke lokasi yang terbabit, termasuk rumah anak yatim, rumah orang tua, pusat tahfiz, dan asnaf.

Dengan sokongan yang berterusan, program ini diharapkan dapat memberi manfaat lebih besar kepada mereka yang memerlukan, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

By Cynthia

Leave a Reply