KUALA LUMPUR: Seramai 200 orang hari ini telah menerima bantuan dalam Program Sumbangan Kasih Madani.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bersyukur dapat berkumpul hari ini di Surau Al-Mustaqimah, Taman Jaya.

Katanya, selain memberi sumbangan turut diagihkan bubur lambuk di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Program sebegini bukan sahaja menjadi platform untuk kita sama-sama menyantuni masyarakat, malah secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim sesama kita sebagai satu komuniti di Bandar Tun Razak ini.

“Aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini mengembalikan nostalgia amalan tradisi yang penuh dengan nilai murni dan semangat kekeluargaan,” katanya.

Menurut Wan Azizah lagi sempena Ramadan, beliau mengajak semua orang menginsafi diri dan memperingati golongan yang memerlukan.

Katanya, sesungguhnya Ramadan mengajar erti kesabaran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan.

“Saya berharap sumbangan kecil yang disalurkan pada hari ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban sahabat-sahabat kita yang memerlukan dan memberi kegembiraan buat mereka menyambut lebaran yang bakal menjelang.

“Saya menyeru kepada diri saya dan semua untuk melipatgandakan amalan kebaikan dan ibadah untuk bersama-sama mengejar ganjaran pahala di bulan yang mulia ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang turut hadir dalam program itu berkata di dalam program itu Wan Azizah telah menyampaikan sumbangan tunai beserta bakul makanan rahmah kepada 200 orang penerima dari golongan yang memerlukan di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak.

“Terima kasih kepada semua sukarelawan yang hadir membantu.

“Moga kita semua beroleh ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.

Leave a Reply