KUALA LUMPUR – Filem “Raya Emas – Salako Sacred Treasure”, bukan sahaja menghiburkan penonton dengan visual yang memukau, jalan cerita yang menarik, dan lakon layar yang berkesan, tetapi juga memberikan sorotan istimewa terhadap keindahan alam dan potensi pelancongan Sarawak.

Tayangan perdana filem ini diserikan dengan kehadiran barisan pelakon utama seperti Winson Voon, Dunstun Luther Junior, Nina KSC, Marc Benjamin, serta tetamu khas termasuk Timbalan Pengerusi FINAS, Noor Azam Shair.

Selaku penerbit eksekutif dan salah seorang pelakon utama, Winson Voon berkata, filem ini bukan hanya sekadar hiburan, tetapi juga bertujuan untuk memperkenalkan keindahan sinematik dan budaya masyarakat Salako di Sarawak.

Screenshot

“Saya amat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak atas sokongan mereka dalam merealisasikan projek ini.

“Mereka juga melihat potensi besar filem ini dalam menarik pelancong antarabangsa ke Sarawak,” katanya.

Menurutnya, filem ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada budaya tempatan, malah turut memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi utama untuk penggambaran filem antarabangsa dan memperkukuhkan sektor pelancongan negeri.

“Raya Emas – Salako Sacred Treasure” mengisahkan perjalanan Zul (lakonan Winson Voon), seorang bapa yang terdesak untuk menyelamatkan anak perempuannya yang sakit, dan Ansamah (lakonan Dunstun Luther), seorang anak angkat yang berusaha membuktikan dirinya sebagai penjaga Salako, pelindung kepada bunga legenda Raya Emas.

Screenshot

Kisah ini turut menyertakan sekumpulan penjelajah muda diketuai oleh Diana (lakonan Ahirine Ahirudin), seorang gadis yang mempunyai kebolehan meramal yang luar biasa.

Sebahagian besar penggambaran filem ini, sekitar 80 peratus, telah diambil di kawasan Lundu, Sarawak, menawarkan pemandangan alam semulajadi yang memukau.

Winson berkata, lebih daripada 90 peratus pelakon dalam filem ini adalah dari Sarawak, memberikan platform untuk mempamerkan bakat tempatan dan menyokong industri filem Malaysia.

“Walaupun ‘Raya Emas’ adalah kisah fiksyen mengenai bunga emas dengan kuasa penyembuhan luar biasa, ia tetap mengangkat budaya dan tradisi masyarakat Salako.

“Filem ini memberi pandangan yang unik tentang Sarawak yang kaya dengan warisan,” katanya.

Dengan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” dijangka menjadi pemangkin untuk industri pelancongan dan filem di Sarawak, serta menonjolkan negeri ini sebagai destinasi wajib dikunjungi.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 3 April 2025, membawa penonton untuk merasai keindahan dan keunikan warisan Sarawak melalui pengalaman sinematik yang mendalam.

SINOPSIS
“Raya Emas – Salako Sacred Treasure” menceritakan kisah Zul, seorang bapa yang terdesak untuk mencari bunga Raya Emas demi menyelamatkan anak perempuannya yang sakit.

Dalam pencariannya, beliau bertemu dengan Ansamah, anak angkat seorang ketua suku, dan sekumpulan penjelajah muda yang diketuai oleh Diana.

Screenshot

Mereka menemui bunga berkenaan, namun tindakan mereka merosakkan sihir pelindung yang melindungi Raya Emas, menyebabkan kekacauan di kampung suku terbabit.

Dengan bantuan Ansamah, Diana dan rakan-rakannya berusaha mengembalikan bunga itu ke tempat asalnya, sambil mendedahkan takdir Diana sebagai penjaga baru Raya Emas.

Melalui perjalanan ini, filem ini menyampaikan tema harapan, keberanian, dan penebusan, berlatarkan hutan hujan Borneo yang subur.

By Cynthia

Leave a Reply