KUALA LUMPUR, 30 Mac – Pasangan pengembara tempatan, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin (Qobin) dan pelakon Amar Baharin, bakal memulakan ekspedisi berbasikal dari Perlis ke Mekah pada 27 April 2025. Kayuhan simbolik ini akan dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra, di Arau sebelum mereka memulakan perjalanan sejauh ribuan kilometer.

Menurut Amar, idea ekspedisi ini tercetus daripada rutin mingguan mereka berbasikal sehingga 200 kilometer. “Kami biasa berkayuh jauh, jadi ini adalah peluang untuk merealisasikan impian ke Tanah Suci dengan cara unik,” katanya.

Qobin menerangkan laluan perjalanan mereka akan merentasi Thailand, India, Pakistan, Iran, dan UAE sebelum tiba di Arab Saudi. “Kami elak laluan Myanmar dan Bangladesh atas faktor keselamatan,” jelasnya. Beliau menekankan bahawa misi ini bukan untuk mencipta rekod, tetapi memenuhi impian mengembara ke Mekah melalui darat.

Amar turut berkongsi harapan agar perjalanan mereka diberkati. “Kami mohon doa semua agar selamat sampai dan dapat menunaikan umrah dengan sempurna,” ujarnya. Kedua-duanya merancang untuk berkayuh 80–120 kilometer sehari dan menjangka tiba di Mekah dalam tempoh 2–2.5 bulan.

Pembiayaan ekspedisi ini ditanggung sepenuhnya oleh Qobin dan Amar. Orang ramai boleh mengikuti perkembangan mereka melalui laman web www.qanda.my (akan aktif April 2025) serta media sosial kedua-dua pengembara.

Leave a Reply