KUALA LUMPUR – Sejak pelancaran pada September 2024, “Gayong” menjadi antara naskhah filem tempatan yang paling dinantikan oleh peminat filem tanah air.
Diinspirasikan daripada kisah hidup Pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), filem ini dijangka bakal mencuri perhatian penonton di pawagam seluruh negara pada 8 Mei 2025.
Membawakan watak utama sebagai ADMAR, pelakon popular Beto Kusyairy berkolaborasi dengan barisan pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, dan Yayan Ruhian.
Filem ini, yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Sepang, dan Tanjung Sedeli, berjanji untuk membawa penonton menyelami perjuangan seorang tokoh persilatan yang bukan sahaja mempertahankan maruah bangsa, tetapi juga berjuang untuk tanah air.
Pengarah filem ini, Faisal Ishak berkata, “Gayong” bukan sekadar sebuah filem aksi, tetapi sebuah karya yang bertujuan untuk mengangkat warisan seni persilatan Melayu ke layar perak.

Menurutnya, filem ini memberikan penonton peluang untuk merasai semangat dan pengorbanan di sebalik setiap langkah dan gerakan silat yang dipersembahkan.
“Gayong bukan sahaja menawarkan aksi mendebarkan, tetapi lebih daripada itu. Kami mahu penonton memahami jiwa di sebalik setiap gerak langkah yang penuh makna dan falsafah mendalam yang diwariskan oleh tokoh seperti ADMAR,” katanya.
Menerbitkan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kehidupan seorang tokoh besar seperti ADMAR bukanlah satu tugas yang mudah.
Faisal turut berkongsi cabaran besar yang dihadapi dalam memastikan ketulenan cerita serta penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.
“Arwah ADMAR bukan sahaja seorang pendekar, tetapi seorang guru yang mendalami falsafah persilatan dan kehidupan.
“Oleh itu, kami perlu memastikan cerita ini menggambarkan semangat perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperkenalkan dan mempertahankan seni silat Gayong,” katanya.

Bagi memastikan filem ini dihasilkan dengan penuh kesungguhan, setiap pelakon telah menjalani latihan intensif bersama Pengarah Aksi, Yayan Ruhian, serta jurulatih silat yang berpengalaman.
Latihan tidak hanya membabitkan teknik silat, tetapi juga mendalami falsafah dan disiplin dalam setiap jurus silat Gayong.
“Latihan ini adalah langkah penting untuk memastikan setiap gerakan dan teknik dipersembahkan dengan autentik dan penuh penghormatan terhadap seni silat Gayong itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif “Gayong”, Khairul Anuar Latip berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan dan sokongan daripada ahli keluarga ADMAR, khususnya anak perempuan dan cucu arwah.
Mereka turut bekerjasama dalam penyelidikan dan mendapatkan nasihat untuk memastikan filem ini mencerminkan ketulenan cerita.
“Selain daripada keluarga, kami juga mendapat sokongan penuh daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).
‘Mereka sentiasa berhubung dengan kami, memberikan nasihat serta menghantar ahli-ahli silat untuk memastikan setiap gerakan silat yang ditampilkan di layar perak tidak lari daripada prinsip-prinsip asli silat Gayong,” katanya.
Walaupun menyedari cabaran besar yang bakal dihadapi, terutamanya dengan persaingan daripada filem-filem lain pada bulan Mei nanti, Khairul tetap optimis mengenai masa depan filem ini.
Menurutnya, filem “Gayong” mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik perhatian penonton.
“Harapan kami adalah filem ini mendapat sambutan yang luar biasa. Kami percaya ‘Gayong’ akan memberi inspirasi dan semangat juang kepada penonton, sambil mengangkat tokoh persilatan dan pahlawan tempatan yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara,” katanya.

Sinopsis “Gayong”
“Gayong” mengisahkan perjalanan hidup Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, yang tidak hanya mempertahankan maruah bangsa di gelanggang persilatan, tetapi juga bangkit mempertahankan tanah air ketika negara diancam oleh penjajah.
Filem ini adalah penghormatan terhadap legasi beliau dan perjuangan yang menghubungkan sejarah serta semangat juang yang tak ternilai harganya.