
KUALA LUMPUR – Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (MMJA) melahirkan rasa kesal dengan kecuaian editorial oleh Sin Chew Daily yang menyiarkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar.
Presiden MMJA, Nik Suryani Megat Deraman, menegaskan bahawa bulan sabit merupakan lambang Islam sebagai agama Persekutuan dan elemen penting dalam bendera kebangsaan.
Penerbitan gambar bendera yang tidak lengkap itu mencerminkan kegagalan proses semakan editorial yang boleh menjejaskan kredibiliti sesebuah organisasi media. Walaupun Sin Chew Daily telah memohon maaf, MMJA menekankan bahawa kesilapan melibatkan simbol negara adalah isu serius dan tidak boleh dipandang ringan.
MMJA menggesa semua media di negara ini untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) editorial serta meningkatkan kawalan kualiti, terutamanya dalam penerbitan kandungan visual berkaitan simbol rasmi negara. Langkah ini penting bagi memastikan industri media terus dihormati dan bebas daripada kesilapan yang boleh menimbulkan kontroversi.
Nik Suryani turut menyeru agar semua pihak media lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan maklumat, terutamanya ketika melibatkan elemen-elemen sensitif seperti agama dan identiti kebangsaan.