KUALA LUMPUR – Nama Datuk Amy Search tidak pernah lekang daripada bibir peminat muzik tanah air.

Di usia 66 tahun, penyanyi rock legenda ini membuktikan bahawa semangat seninya masih utuh dan bertenaga, apabila bersiap sedia untuk menjayakan konsert solo pertama sepanjang kerjaya muziknya yang menjangkau lebih empat dekad.

Konsert yang diberi judul Amy Search Magic Konsert Solo Pertama bakal berlangsung pada 26 April ini di Axiata Arena, Bukit Jalil satu lokasi berprestij yang sinonim dengan acara muzik berskala besar.

Tarikh berkenaan bukan sahaja dinanti-nantikan oleh peminat setia, malah menjadi detik bersejarah buat Amy sendiri dalam menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang tidak pernah jemu memberi sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri seni.

Amy berkata, peluang untuk kembali ke pentas utama memberi satu kepuasan yang tidak terungkap sebagai seorang penghibur.

Baginya, setiap kali diberi peluang menjayakan persembahan pentas, ia bukan sahaja memberi ruang untuk menghiburkan peminat, malah membuka peluang untuk terus belajar dan memperbaiki diri.

“Setiap kali dapat menjayakan konsert, saya dapat rasai satu kepuasan.

“Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan peminat. Bagi saya, semakin kerap membuat persembahan, semakin banyak ilmu dan pengajaran baru yang dapat saya pelajari,” katanya ketika ditemui pada sesi persiapan konsert, baru-baru ini.

Menyedari cabaran fizikal yang datang seiring dengan peningkatan usia, Amy menekankan penjagaan kesihatan dan stamina menjadi fokus utama dalam memastikan persembahan selama dua jam setengah itu dapat dijayakan dengan cemerlang.

“Sudah tentu di usia sekarang ini saya perlu pastikan diri kekal sihat dan bertenaga. Penyanyi ini umpama pemain bola perlu kekalkan stamina supaya dapat berikan persembahan yang mantap.

“Untuk saya, mengadakan persembahan selama dua jam setengah itu adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat berinteraksi dengan peminat selain berpeluang menyanyi bersama. Ia juga membawa satu kenangan terindah,” katanya.

Amy berkata, beliau akan mempersembahkan sekitar 20 hingga 25 buah lagu yang pastinya merangkumi seleksi karya ikonik yang telah melonjakkan namanya di persada seni muzik Malaysia.

“Sudah tentu lagu kegemaran kalian tak perlu saya nak cakap, saya akan nyanyikan. Saya janji akan berikan persembahan yang terbaik.

‘Cuma saya nak anda hadir, dan kita akan sambut Aidilfitri bersama dalam suasana yang penuh bermakna,” katanya.

Konsert istimewa ini turut mendapat sentuhan pengarah konsert berpengalaman, Jennifer Thompson, yang sebelum ini dikenali dengan kredibiliti tinggi dalam mengendalikan konsert-konsert berprofil tinggi.

Dengan penglibatan beliau, peminat boleh menjangkakan sebuah produksi yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mampu meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.

Menambahkan lagi keunikan konsert ini, tema Rock It Like Amy diperkenalkan bagi menggalakkan peminat tampil dengan gaya fesyen yang mencerminkan semangat rock n’ roll, selari dengan identiti Amy Search yang sinonim dengan genre berkenaan.

Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik semata-mata, tetapi satu penghargaan terhadap legasi seorang ikon seni yang telah banyak menyumbang kepada dunia hiburan tanah air.

Kepada peminat yang merindui aura dan magis Amy Search, inilah masanya untuk bersama-sama menyaksikan sejarah yang bakal tercipta.

Tiket bagi menyaksikan konsert ini boleh didapati menerusi platform rasmi www.wowtix.com.my dengan harga bermula daripada RM188 hingga RM788, bergantung kepada kategori tempat duduk yang ditawarkan.

Kategori tiket adalah seperti berikut:

-RM188 (Cat 6 – Lagu Tiada Lagi)

-RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita)

-RM388 (Cat 4 – Kerja Gila)

-RM538 (Cat 3 – Kalimah Cinta)

-RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan)

-RM788 (Cat 1 – Rock Royalty)

By Cynthia

Leave a Reply