KUALA LUMPUR, 14 APRIL 2025 – Sukan sepaktakraw negara mencatat sejarah penting apabila kembali diiktiraf sebagai sukan teras prestasi tinggi, sekaligus menandakan pelancaran rasmi Program Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP). Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pembangunan sukan warisan Malaysia dari peringkat akar umbi hingga ke persada antarabangsa.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, menyampaikan penghargaan tertinggi kepada YB Menteri Belia dan Sukan atas sokongan padu dalam menjayakan NSTDP. Beliau menegaskan bahawa program ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan sukan tradisi serta menyediakan landasan sistematik untuk melahirkan bakat muda berkualiti.
“NSTDP bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi komitmen bersama antara kerajaan, PSM, MSN, ISN, KPM, Majlis Sukan Negeri, dan semua pihak berkepentingan untuk membina kecemerlangan sepaktakraw secara saintifik dan mampan,” ujar Datuk Sumali.

Melalui NSTDP, bakat muda dari seluruh negara akan dikenal pasti dan dibimbing melalui program latihan berstruktur, bermula dari peringkat akar umbi, pusat latihan negeri, hingga ke skuad kebangsaan. Pendekatan ini turut mengintegrasikan sains sukan seperti analisis biomekanik, fisiologi latihan, dan pemulihan atlet bagi meningkatkan prestasi menyeluruh.
“Program ini akan mewujudkan ekosistem lengkap yang menyokong pertumbuhan atlet dari peringkat awal sehingga mereka berpeluang bersaing di peringkat tertinggi,” tambah beliau.
Pelancaran NSTDP turut disokong oleh beberapa pihak utama termasuk YB Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria (Presiden MOM), serta wakil dari MSN, ISN, KPM, dan Majlis Sukan Negeri. Kerjasama erat ini diharap dapat memacu sepaktakraw Malaysia ke arah kejayaan lebih gemilang.
Dengan pelaksanaan NSTDP, PSM yakin bahawa sepaktakraw negara akan kembali bersaing di peringkat global, sekaligus melestarikan warisan sukan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.