
KUALA LUMPUR – Kenyataan mantan Setiausaha PKR Cabang Batu, Kuala Lumpur, Yuslaini Azmi, yang mengaitkan isu rasuah ‘duit raya’ dalam pemilihan PKR dengan “budaya UMNO” hari ini dibalas oleh Pengarah Komunikasi Strategik PMD Wanita UMNO Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman. Beliau menegaskan bahawa isu dalaman parti sepatutnya diselesaikan secara berhemah tanpa menyalahkan pihak luar.
“Jika benar ada masalah dalam parti sendiri, selesaikanlah dengan matang tanpa menjadikan UMNO sebagai kambing hitam,” tegas Nik Suryani dalam kenyataannya pada 18 April 2025. Beliau turut mengingatkan agar PKR tidak melupakan adab dalam berpolitik, terutamanya jika ingin menjaga hubungan baik antara parti.
Nik Suryani juga mengucapkan selamat menyambut pesta demokrasi kepada PKR, sambil menyifatkan kempen pemilihan parti itu sebagai sangat meriah dengan pelbagai poster calon dan pasukan di media sosial. Namun, beliau membandingkannya dengan pemilihan UMNO yang mempunyai peraturan lebih ketat.
“Dalam UMNO, calon tidak dibenarkan memaparkan poster ‘cai’ secara terbuka. Jika melanggar peraturan, pencalonan mereka boleh dibatalkan serta-merta, termasuk kesalahan politik wang,” jelasnya. Beliau menegaskan bahawa itulah budaya dan disiplin pemilihan dalam UMNO yang memastikan proses berjalan dengan telus dan teratur.