
KUALA LUMPUR, 18 APRIL 2025 – Dato’ Sri Dr Irmohizam bin Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA), telah diberi kepercayaan sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pelantikan beliau berkuat kuasa selama dua tahun bermula 18 April 2025 hingga 17 April 2027.
Watikah pelantikan disampaikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Dr Mohd Mahzan Awang, disaksikan oleh Profesor Dato’ Dr Roslee Rajikan, Pro Naib Canselor (Strategi & Pembangunan Korporat UKM). Turut menerima watikah pelantikan pada hari yang sama ialah Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (Presiden MUBARAK Malaysia) dan Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia).
Sebagai alumni UKM dalam bidang Doktor Falsafah Pendidikan Dewasa dan Perkembangan Profesional serta Sarjana Undang-undang, Dato’ Sri Dr Irmohizam dijangka membawa sumbangan besar kepada fakulti. Penglibatan beliau di WTCA juga akan membuka peluang kerjasama antarabangsa bagi memartabatkan UKM di peringkat global.
Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh jaringan industri di Fakulti Pendidikan UKM melalui program pembelajaran sepanjang hayat dan kerjasama strategik. Beliau turut berhasrat untuk memacu pendidikan berteraskan industri serta meningkatkan reputasi fakulti.
“Saya akan berikan yang terbaik dalam melaksanakan amanah ini, terutamanya dalam pendidikan berteras industri dan kolaborasi global. Saya amat teruja untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama warga UKM,” ujar Dato’ Sri Dr Irmohizam.
Warga WTCKL turut mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau, yang dianggap sebagai satu pencapaian bermakna dalam kerjaya profesional dan akademiknya.