Oplus_16908288

KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menaja seramai 423 pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) sejak tahun 1999, dengan 173 pelajar masih aktif menerima tajaan dalam pelbagai bidang, termasuk 144 pelajar perubatan. Sehingga 31 Mac 2025, MARA menaja 4,510 pelajar Bumiputera dalam bidang perubatan di dalam negara.

Isu pelajar UNISHAMS yang ditolak permohonan tajaan MARA kerana telah menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat perhatian. Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, menjelaskan bahawa syarat utama penajaan MARA ialah pelajar tidak boleh menerima bantuan kewangan daripada agensi lain bagi peringkat pengajian yang sama.

Beliau menegaskan bahawa syarat ini bukanlah perkara baharu, malah telah diamalkan sejak puluhan tahun lalu. “Ini sama seperti seseorang yang ingin membeli rumah, tidak boleh menerima pembiayaan daripada dua bank berbeza. Prinsip yang sama terpakai dalam pembiayaan pendidikan,” ujarnya.

MARA berhasrat memberi peluang kepada pelajar Bumiputera yang belum pernah menerima bantuan pendidikan daripada mana-mana agensi lain. Ini bagi memastikan lebih ramai pelajar layak mendapat manfaat daripada pinjaman pelajaran MARA.

Agensi itu kekal komited dalam menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan untuk memastikan akses kepada pengajian tinggi yang berkualiti dan berdaya saing.

Zulfikri turut menekankan bahawa garis panduan permohonan Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) telah disediakan dengan jelas sejak dibuka pada November 2024. Pelajar dinasihati agar memahami syarat-syarat sebelum membuat permohonan.

MARA juga akan terus memantau keperluan pelajar Bumiputera dan memperkukuh program bantuan pendidikan sedia ada bagi memastikan tiada yang tercicir dalam mengejar cita-cita akademik.

Leave a Reply