KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-64 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang dijadual berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), bakal menyaksikan perkembangan penting dalam kepimpinan tertinggi pertubuhan itu apabila dua calon utama mengumumkan penarikan diri dan memberikan sokongan penuh kepada
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg sebagai Yang Dipertua PERKIM bagi sesi 2025-2028.

Dalam satu kenyataan media bersama, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Nakhaie Ahmad memaklumkan keputusan mereka untuk tidak meneruskan pencalonan masing-masing demi memberi laluan kepada Premier Sarawak menerajui kepimpinan tertinggi PERKIM.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas menilai keperluan organisasi dan mengambil kira kewibawaan serta kepimpinan yang dimiliki oleh Premier Sarawak.

Penarikan diri ini sekaligus membuka peluang kepada beliau untuk dipilih sebagai Yang Dipertua PERKIM tanpa bertanding.

“Kami yakin bahawa kepimpinan Premier Sarawak akan membawa PERKIM ke arah kecemerlangan yang lebih menyeluruh dan inklusif, khususnya dalam memperkukuh usaha dakwah serta kebajikan umat Islam di seluruh negara,” ujar kenyataan itu.

Shahidan turut memaklumkan bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan Naib Yang Dipertua PERKIM dalam pemilihan kali ini.

Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM ini dijangka menjadi medan penting untuk menetapkan hala tuju baharu pertubuhan, terutama dalam usaha memperkukuh peranan dakwah dan kebajikan Islam di Malaysia.

Leave a Reply