KUALA LUMPUR – Usanita Sdn Bhd melalui cabang hiburannya, Usanita Entertainment, terus memacu langkah berani dalam dunia digital apabila memperkenalkan UTV, sebuah platform penstriman (OTT) terbaharu yang bakal membawa dimensi baharu dalam industri hiburan tempatan dan serantau.
Platform inovatif ini dijangka dilancarkan secara rasmi pada hujung Mei 2025 dengan membawa tagline Stream For You, yang mencerminkan aspirasi untuk menyediakan pengalaman hiburan yang bersifat peribadi, inklusif dan menyentuh jiwa sejajar dengan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
UTV bukan sekadar sebuah lagi platform penstriman dalam pasaran. Ia diwujudkan sebagai wadah untuk mengetengahkan suara autentik, kisah-kisah bermakna dan karya asli terutamanya hasil tangan anak tempatan.
Di samping itu, UTV juga memberi penekanan kepada penglibatan dan pemerkasaan wanita dalam dunia seni hiburan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, UTV diwujudkan atas kesedaran terhadap kekosongan dalam pasaran untuk kandungan tempatan yang jujur, menyentuh emosi dan memberi inspirasi.
“Idea penubuhan UTV ini tercetus daripada keinginan untuk membuka lebih banyak ruang kepada penggiat seni tempatan agar karya mereka dapat berkembang dan dinikmati oleh khalayak yang lebih luas, bukan hanya di Malaysia malah serantau.
“Kami percaya negara ini kaya dengan bakat dan cerita yang luar biasa.
“Dengan UTV, kami ingin membina satu ekosistem hiburan yang bukan sekadar menayangkan kandungan, tetapi turut mendidik, menyatukan dan memperkasakan masyarakat, khususnya golongan wanita, agar mereka mendapat tempat sewajarnya dalam landskap hiburan digital,” katanya.

Platform ini bakal menampilkan pelbagai kandungan premium merangkumi drama bersiri tempatan, telefilem, filem asli, dokumentari, rancangan bual bicara serta kandungan gaya hidup dan belia yang relevan dengan selera generasi kini.
Bagi memastikan kualiti kandungan yang ditawarkan menepati standard terbaik, Usanita Entertainment turut melantik pengarah dan penerbit tersohor tanah air, Erma Fatima sebagai Channel Advisor.
Pelantikan ini sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat dalam memastikan setiap produksi UTV mempunyai kekuatan naratif dan nilai produksi yang kompetitif.
Dalam majlis sama, Usanita Entertainment turut mengumumkan penganjuran dua persembahan istimewa hasil kerjasama bersama Mask Team di bawah jenama Usanita Entertainment x Mask Team.
Persembahan pertama bertajuk An Evening With Nadeera Zaini akan berlangsung pada 30 Mei 2025 (Jumaat), diikuti dengan Hael Husaini Antonim Night pada 31 Mei 2025 (Sabtu).
Kedua-dua acara ini dijadualkan berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam.
Adzliana berkata, pihaknya merasa teruja dengan penganjuran dua persembahan eksklusif berkenaan yang dilihat sebagai usaha untuk merapatkan seni dan muzik tempatan dengan peminat dalam suasana yang lebih intim dan bermakna.

“Penganjuran persembahan ini adalah tanda penghargaan kami kepada peminat yang terus menyokong industri seni tempatan.
“Ia juga memberi ruang kepada artis untuk tampil dengan karya mereka dalam bentuk yang lebih peribadi dan beremosi.
“Kami yakin, Nadeera dan Hael akan menghadirkan persembahan yang memukau dan menyentuh hati, selaras dengan nilai yang kami perjuangkan di Usanita Entertainment iaitu meraikan seni tempatan yang berkualiti tinggi,” katanya.
Kedua-dua pengumuman utama ini dibuat dalam suasana penuh meriah sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular tanah air termasuk Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Erma Fatima, Zoey Rahman, Datuk Rossa, Nadeera, Hael Husaini dan ramai lagi.
Pelancaran UTV serta penganjuran dua persembahan eksklusif ini bukan sahaja menjadi cerminan aspirasi Usanita Entertainment untuk membangunkan industri hiburan digital tanah air, tetapi juga sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada penggiat seni tempatan yang terus mencipta dan menghidupkan kisah-kisah yang dekat di hati rakyat Malaysia.