KUALA LUMPUR, 25 April 2025 – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Dr Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan keyakinannya bahawa pengundi di DUN Ayer Kuning (N48) akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang. Beliau menegaskan bahawa jentera parti telah bekerja keras sejak pemergian Allahyarham YB Ishsam Shahruddin untuk memastikan kesinambungan perjuangan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, sokongan terhadap calon BN adalah penting kerana ia selaras dengan kerajaan negeri, memudahkan wakil rakyat menyampaikan masalah penduduk kepada pihak berkuasa. Beliau juga berkongsi pengalamannya mengunjungi Ayer Kuning baru-baru ini dan mendapati semangat rakyat begitu tinggi untuk bersama-sama menyokong kerajaan sedia ada.

“Saya sempat ke Ayer Kuning dan melihat sendiri mood rakyat di sana. Mereka begitu berminat dan komited untuk menyokong kerajaan hari ini,” katanya.

Wan Rosdy turut memuji komitmen jentera parti yang bekerja tanpa henti sejak pemergian Allahyarham Ishak Shahruddin. Menurutnya, usaha gigih mereka memastikan pengundi mendapat maklumat tepat dan tidak terpengaruh dengan persepsi serta permainan politik pihak pembangkang.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jentera parti. Mereka turun ke padang sebaik sahaja kita kehilangan Allahyarham Ishsam untuk memastikan pengundi tidak dikelirukan,” jelasnya.

Beliau juga menekankan bahawa BN sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan rakyat dan memperjuangkan pembangunan yang berterusan di Pahang. Dengan kerjasama semua pihak, beliau yakin BN akan terus mendapat kepercayaan pengundi di Ayer Kuning.

Wan Rosdy berharap momentum positif ini akan diteruskan sehingga hari pengundian, sekaligus memastikan kemenangan besar untuk Barisan Nasional.

Leave a Reply