KUALA LUMPUR, 29 April 2025 – UMNO Bahagian Subang, Dato’ Armand Azha Abu Hanifah, menekankan pentingnya parti politik membina naratif kemenangan melalui strategi penerangan yang efektif bagi menghadapi PRU16. Beliau berkata, dalam suasana politik yang semakin progresif dan dinamik, UMNO perlu melangkah lebih daripada sekadar menggunakan media arus perdana, media sosial, atau ceramah biasa.

Menurut Armand, kunci utama adalah penyampaian mesej yang jelas kepada akar umbi dan rakyat. “Gerak kerja penerangan harus berterusan sehingga PRU16 dengan strategi khusus untuk membina mentaliti kemenangan dalam kalangan penyokong,” ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa kredibiliti jurucakap parti amat penting untuk memastikan mesej politik diterima masyarakat.

Armand turut mengingatkan bahawa serangan politik terhadap lawan perlu dilakukan dengan bijak. “Hari ini, serangan politik memerlukan fakta yang kukuh dan jurucakap yang disegani. Jika salah pilih jurucakap, ia boleh merugikan parti dalam jangka panjang,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan agar UMNO memberi lebih banyak ruang kepada wajah-wajah baru sebagai jurucakap parti. “Rakyat ingin melihat kepelbagaian, termasuk jurucakap dari kalangan anak muda, profesional, mahasiswa, NGO, dan bidang seperti sukan serta seni,” jelasnya.

Armand juga menyarankan agar jurucakap di semua peringkat, dari nasional hingga cawangan, digilap kemahiran mereka bagi memastikan keseragaman naratif parti. Beliau yakin UMNO/BN sedang merangka strategi ini sebagai persiapan menghadapi PRU16.

Sebagai ketua bahagian, beliau menyampaikan pandangan ini demi memperkasa UMNO. “Saya sayangkan parti ini dan ingin melihat UMNO bergerak dengan lebih hebat menuju PRU16,” ujarnya.

Leave a Reply