Adakah Malaysia Menuju Ke Arah Republik Tanpa Raja?
KUALA LUMPUR, 30 April 2025 – Seorang pengamal media, Nik Suryani Megat Deraman melahirkan kebimbangan terhadap sikap membisu dan berdolak-dalik kerajaan serta Pejabat Peguam Negara dalam isu pelaksanaan Titah Diraja Addendum yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
Menurut beliau, sudah lebih 14 bulan berlalu sejak titah itu dikeluarkan, namun pelaksanaannya masih kabur dan terus dinafikan secara tidak langsung, walaupun Istana Pahang telah mengesahkan kewujudan titah berkenaan. Keadaan ini menurutnya, menimbulkan persoalan besar terhadap penghormatan terhadap institusi diraja.
Nik Suryani menyifatkan tindakan itu sebagai satu isyarat membimbangkan ke arah penghakisan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, yang merupakan asas kepada pembentukan negara ini sejak merdeka.
“Raja bukan boneka. Jika suara dan titah seorang Raja tidak lagi dihormati oleh institusi kerajaan dan Pejabat Peguam Negara, maka kita sedang menyaksikan bibit-bibit penghinaan terhadap institusi diraja,” tegas beliau.
Beliau juga melontarkan persoalan sama ada tindakan ini menggambarkan usaha halus dan tersusun untuk membawa Malaysia ke arah sebuah republik, menolak sistem Raja Berperlembagaan yang telah lama diamalkan.
Nik Suryani mendesak agar titah Seri Paduka Baginda segera dihormati dan dilaksanakan, dengan menuntut agar rayuan yang dikemukakan oleh Pejabat Peguam Negara terhadap isu tahanan rumah Dato’ Sri Najib ditarik balik serta-merta.
“Jika benar kita menghormati Perlembagaan dan prinsip kedaulatan, maka titah Raja perlu dilaksana tanpa lengah,” katanya lagi.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat Malaysia masih teguh menyokong sistem Raja Berperlembagaan dan akan menolak sebarang usaha untuk mengikis kuasa Raja-Raja secara senyap.
Beliau berharap agar Dato’ Sri Najib diberi tahanan rumah segera, sesuai dengan titah yang telah dikeluarkan.