KUALA LUMPUR, 30 April 2025 – UMNO Bahagian Pekan meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu membolehkan rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 yang sebelum ini telah membenarkan rayuan Dato’ Sri Najib dan mengembalikan semula kes semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum ke Mahkamah Tinggi untuk diteruskan.

Akibat daripada keputusan terbaru itu, kesemua prosiding di Mahkamah Tinggi berkenaan kini terpaksa ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, UMNO Pekan menyatakan pendirian teguh untuk terus memperjuangkan hak dan keadilan bagi Dato’ Sri Najib, yang disifatkan sebagai tokoh negara yang telah banyak berjasa dalam pembangunan Malaysia.

“Kecewa dan kesal bukan sekadar kerana proses undang-undang ditangguhkan, tetapi kerana keadilan bukan hanya perlu dilakukan, bahkan mesti dilihat dilakukan,” menurut kenyataan itu.

UMNO Pekan menyeru semua pihak untuk mendoakan agar Dato’ Sri Najib diberikan kekuatan, ketabahan dan mendapat keadilan yang sewajarnya dalam menghadapi dugaan ini.

Kes Titah Adendum melibatkan isu perundangan yang rumit dan menjadi perhatian ramai, khususnya penyokong Dato’ Sri Najib yang melihat kes ini sebagai simbol perjuangan terhadap sistem keadilan negara.

UMNO Pekan juga menzahirkan harapan agar keputusan akhir nanti dapat memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman dalam menangani kes-kes berprofil tinggi.

Leave a Reply