KUALA LUMPUR, 3 Mei 2025 – Kenyataan terbaru oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan UMNO, terus mencetuskan spekulasi dan persoalan dalam kalangan pemerhati politik tanah air.

Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Ketua UMNO Bahagian Batu, mempersoalkan keikhlasan DS Hamzah dalam kenyataan tersebut. Menurut beliau, kenyataan DS Hamzah boleh ditafsir dalam pelbagai sudut memandangkan latar belakangnya sebagai “operator politik” yang sering menggunakan strategi berselindung.

“Sudah tiga kali kenyataan mengenai kerjasama dengan UMNO dikeluarkan. Adakah ini muslihat atau ikhlas? Wallahuallam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Datuk Gulam yang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, turut menyentuh situasi semasa PPBM yang disifatkan berada dalam keadaan “gelabah” berikutan sokongan rakyat yang semakin merosot, terutamanya selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Air Kuning yang dianggap sebagai satu ‘litmus test’ penting.

“Isu 3R sudah tidak laku, percubaan membunuh karakter Presiden UMNO DS Zahid Hamidi tidak berjaya, dan usaha meraih sokongan bukan Melayu juga gagal. Kini naratif kerjasama dengan UMNO pula dicetuskan. Adakah ini sekadar helah untuk ‘minta nyawa’ dalam survival politik PPBM?” soalnya.

Tambah beliau lagi, sejarah penubuhan PPBM sendiri adalah sebagai pengganti kepada UMNO, dan bukan sebagai rakan kongsi. Justeru, cadangan kerjasama ini dilihat tidak masuk akal melainkan ada agenda tersembunyi.

Dalam kenyataannya, beliau turut mengingatkan bahawa UMNO kini lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan strategik dan tidak semudah itu untuk terperangkap dengan naratif lawan politik.

“DSZH bukan semudah itu untuk terperangkap. Beliau cukup arif dalam soal untung rugi politik,” katanya.

Datuk Gulam menyatakan bahawa doa para ahli UMNO yang pernah dikhianati kini sedang dimakbulkan, dan PPBM mungkin akan terbubar dengan sendirinya – tanpa perlu kerjasama dari UMNO.

#PolitikMalaysia #UMNO #PPBM #DSHamzah #DSZahid #PRKAirKuning #KerjasamaPolitik #MuslihatPolitik #SurvivalPolitik #GugurnyaPPBM

Leave a Reply