KUALA LUMPUR, 4 Mei 2025 — Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang dipimpin oleh Datuk Sumali atas kejayaan menganjurkan kejohanan Piala Asia Sepaktakraw serta memperkenalkan jersi baharu pasukan kebangsaan.

Beliau menyatakan bahawa MOM memberi sokongan penuh kepada kepimpinan semasa PSM kerana usaha transformasi serta pemodenan pentadbiran sukan itu yang dilihat memberi impak besar dalam menaikkan kembali populariti sepak takraw sebagai sukan pilihan rakyat.

“Saya melihat momentum yang dibina sejak beberapa tahun ini cukup positif, dan sokongan peminat semakin meningkat. Inilah antara sebab mengapa kami berdiri teguh di belakang kepimpinan baharu ini,” kata Tan Sri Norza ketika ditemui Media di Acara Pengumuman Barisan Pemain & Pelancaran Jersi di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur disini.

Beliau juga menggesa agar pemain negara memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah serta kejayaan terdahulu sebagai juara dunia untuk mengekalkan prestasi cemerlang di peringkat Asia. Beliau yakin ini akan menjadi batu loncatan penting menjelang Sukan SEA dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.

“Pemain perlu berjuang demi maruah negara dan terus mengibarkan Jalur Gemilang di persada sukan antarabangsa,” tambahnya.

Tan Sri Norza turut memuji usaha promosi besar-besaran oleh PSM bersama badan serantau seperti ASTAF dan APA, yang berjaya menarik penyertaan negara-negara baharu seperti India ke dalam arena sepak takraw. Ini katanya, mampu meningkatkan nilai komersial sukan tersebut dan membuka laluan ke pentas Olimpik satu hari nanti.

“Saya percaya takraw bukan lagi sukan rantau semata-mata. Dengan penglibatan negara besar seperti India dan China, potensi sukan ini untuk berkembang ke peringkat dunia amat tinggi,” katanya.

#SepakTakraw #PialaAsiaTakraw #TeamMalaysia #MalaysiaBoleh #SukanTradisi #RoadToOlympics #SukanAsia2026 #SukanSEA #PSMBangkit #TakrawGlobal

Leave a Reply