KUALA LUMPUR, 9 Mei 2025 – Pakistan mengejutkan arena Sepak Takraw Asia apabila mengumumkan penarikan diri daripada Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, 10–18 Mei 2025, atas alasan keselamatan.
Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan (PSF), Noushad Ahmed Khan, keputusan itu diambil selepas pihak berkuasa negaranya menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad berikutan kebimbangan terhadap ancaman serangan tentera India sejak awal minggu ini. “Kami membuat keputusan sukar ini dengan berat hati demi keselamatan pasukan,” katanya semasa perbincangan dengan Datuk Abdul Halim Kader, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Bersama Piala Asia ASTAF, pada 8 Mei lalu.
Enam pemain Pakistan yang terlibat ialah Sarfaraz Rehman, Muhammad Khalid, Muhammad Shahroze Alvi, Muhammad Shahid, Aman Kumar Oad dan Aqeel Ahmed, bersama jurulatih Dileep Kumar Oad dan pengurus pasukan Akhtar Ali. Kesemua mereka sepatutnya berlepas malam 8 Mei ke Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Abdul Halim Kader, yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), menyifatkan penarikan diri itu sebagai “force majeure”. Beliau memaklumkan bahawa peraturan kejohanan menetapkan setiap perlawanan Pakistan akan dikira menang 2–0 (15–0, 15–0) secara walkover kepada lawan-lawannya.
Dalam undian pada 21 April lalu, Pakistan telah diundi dalam Kumpulan A acara kuadran bersama Vietnam, Singapura dan Korea Selatan, serta dalam Kumpulan C acara regu bersama Vietnam, China dan Jepun. Keputusan ini memberi impak terus kepada jadual kumpulan dan kedudukan mata acara kuadran dan regu.
Sebelum ini, Myanmar turut menarik diri daripada kejohanan yang sama selepas gempa bumi melanda negara tersebut. Pakistan berharap dapat menjadikan Piala Asia ASTAF di Kuala Lumpur sebagai medan pendedahan antarabangsa pertama 2025, terutamanya selepas kegagalan beraksi pada Piala Dunia ISTAF di Bihar, India, Mac lalu.
Sementara itu, pasukan India telahpun tiba di Kuala Lumpur dan akan beraksi dalam Kumpulan A acara beregu bersama Indonesia dan Brunei; Kumpulan A regu bersama Taiwan dan Brunei; serta Kumpulan A berpasukan bersama Thailand, China dan Singapura.
#SepakTakraw #PialaAsia2025 #ASTAF #ISTAF #Pakistan #KualaLumpur #Keselamatan #ForceMajeure #SukanAsia #Walkover


