KUALA LUMPUR, 9 Mei 2025 — Ahli politik dan tokoh Reformasi, Nurul Izzah Anwar hari ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi penggal 2025–2028. Dalam satu kenyataan yang penuh semangat dan reflektif, beliau menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan idealisme Reformasi sambil memperkukuhkan kekuatan akar umbi dan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Nurul Izzah mengakui wujudnya pelbagai reaksi terhadap hasrat pencalonannya — dari mereka yang mengharapkan pembaharuan dalam parti, hingga kepada yang bimbang akan persepsi ‘Parti Anak Beranak’. Bagaimanapun, beliau tampil mempertahankan keputusan tersebut dengan tegas, menyatakan bahawa pemilihan secara demokratik adalah jauh berbeza daripada nepotisme.

“Saya yakin mereka yang membaca kenyataan ini dengan rasional dapat membezakan antara nepotisme dan pemilihan melalui mandat akar umbi,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan sejarah penglibatannya dalam parti sejak tahun 1998, serta prinsip yang dipegang ketika menolak jawatan menteri selepas PRU-14 walaupun diberi peluang.

Mengangkat semangat kolektif dan kerja berpasukan, Nurul Izzah menyatakan tumpuannya adalah kepada pemerkasaan cabang, pembangunan jentera, dan strategi menyeluruh untuk menawan kembali kerusi marginal demi kemenangan KEADILAN di PRU-16.

“Kita tidak mampu bergerak berseorangan. Kemenangan hanya hadir dengan kekuatan cabang, jentera akar umbi, dan kempen yang menyantuni rakyat.”

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyentuh budaya politik sihat, menyeru agar pemilihan parti dijalankan dengan adab, tanpa serangan peribadi atau penghinaan.

“Jangan sesekali menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan dengan biadab, apatah lagi menyentuh isu peribadi.”

Dengan penuh rasa tanggungjawab, beliau menutup kenyataan itu dengan doa dan harapan agar perwakilan dapat menilai kelayakan dirinya secara adil.

“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN 2025–2028.”

#NurulIzzah2025 #TimbalanPresidenKEADILAN #ReformasiBersama #BukanPartiAnakBeranak #KEADILANUntukRakyat #KembaliKepadaAkarUmbi #PolitikAdab #PRU16Bersedia #KekuatanCabang #BersamaMembinaParti


Leave a Reply