Foto Bangsawan Pictures
KUALA LUMPUR – Konsert genKRU yang berlangsung di Axiata Arena pada 3 dan 4 April lalu berjaya membawa ribuan peminat muzik kembali ke zaman kegemilangannya diawal era 90-an.
Dua malam berturut-turut yang penuh dengan semangat dan nostalgia, menjadikan konsert ini satu perayaan bagi mereka yang membesar dengan muzik, gaya, dan budaya pada era itu.
Dengan tema Back to the 90s, konsert ini bukan hanya sebuah persembahan muzik, tetapi pengalaman menyeluruh yang menghidupkan semula suasana zaman muda remaja.
Dari pintu masuk Axiata Arena, terlihat gelagat peminat yag hadir tidak hanya datang untuk menikmati muzik, tetapi juga untuk bergaya.
Ramai yang mengenakan pakaian ikonik jenama-jenama terkenal dari zaman 90-an seperti Vision Street Wear, FUBU, B.U.M Equipment, LA Gear, Converse, dan banyak lagi.
Malah, jenama tempatan seperti Fung Keong turut membawa kembali ingatan kepada fesyen yang menjadi simbol identiti pada waktu itu.

Begitu tirai dibuka dengan lagu “Fanatik”, Axiata Arena bagaikan kembali ke tahun-tahun itu. Penonton berdiri, menyanyi, dan menari seiring irama lagu-lagu hit seperti “Oh! La La”, “The Way We Jam”, “Di Dalam Dilema”, dan “Untukmu”.
Setiap lagu bukan hanya mendendangkan kenangan, tetapi membawa penonton merasai semula semangat zaman itu, di mana muzik, gaya hidup, dan persahabatan menjadi satu ikatan yang erat.
Keistimewaan konsert ini turut ditambah dengan penampilan khas dua bintang yang pernah dibimbing oleh KRU iaitu Adam AF dan Kumpulan Elite.
Adam, yang terkenal dengan lagu “Terhangat di Pasaran”, membawa penonton menyelami kembali kejayaan KRU dalam mencipta bintang.
Sementara itu, Elite dengan lagu hit mereka “Di Pintu Syurga” turut memberi persembahan memukau yang mengembalikan kegemilangan pop wanita Malaysia suatu ketika dahulu.

Konsert ini bukan hanya tentang hiburan semata-mata. Dengan susunan medley yang menyatukan lagu-lagu seperti “Bidadari & Hingga ke Jannah”, “Semuanya OK / Mengerti”, dan “Wanita / Apa Saja”, setiap detik mengimbau kenangan indah yang tak akan pernah pudar.
Ribuan penonton yang hadir bagaikan satu suara, menyanyikan lagu-lagu KRU dengan penuh semangat, membuktikan bahawa muzik mereka bukan hanya tentang hiburan, tetapi tentang identiti dan memori yang terikat kuat dalam hati generasi 90-an.
Bagi mereka yang terlepas peluang menyaksikan konsert selama dua malam itu, konsert genKRU akan kembali untuk malam ketiga pada 10 April di Axiata Arena.
Tiket masih tersedia, dan ini adalah peluang terakhir untuk merasai pengalaman penuh kenangan ini di Kuala Lumpur.
Lebih menarik lagi, selepas Kuala Lumpur, konsert genKRU akan mengunjungi Singapura sebagai kesinambungan kepada kejayaan legasi muzik KRU yang telah mewarnai lebih dua dekad. Maklumat lanjut tentang jadual dan tiket akan diumumkan tidak lama lagi.

Konsert genKRU bukan sekadar sebuah persembahan muzik tetapi ia adalah satu penghormatan kepada zaman yang membentuk siapa kita hari ini.
Ia mengingatkan kita tentang semangat berkawan, rasa bangga terhadap seni, dan kenangan indah yang akan terus hidup dalam hati.
Sebagai Generasi KRU atau #GenerasiKu, kita berhak untuk terus meraikan warisan ini, yang tidak akan pernah hilang.