KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun menyepi dari dunia hiburan, kisah ikonik yang pernah mencetus fenomena dalam kalangan peminat novel dan siri televisyen tempatan akhirnya kembali dalam bentuk filem.
Filem bertajuk Gantung: Musketeer Code, adaptasi daripada novel popular “Gantung” karya penulis tersohor Nadia Khan, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025.
Pernah menggemparkan kaca televisyen pada tahun 2018 menerusi drama bersiri Gantung The Series, kisah ini mengisahkan empat sekawan Gibbs, Ray, Troll dan KJ yang menjalani tahun akhir persekolahan mereka di sebuah institusi elit.
Namun, kehidupan remaja mereka tidak seindah yang disangka apabila mereka dikaitkan dengan insiden tragis kematian seorang pelajar perempuan yang menggantung diri di auditorium sekolah.
Kini, kesinambungan kisah penuh misteri itu diangkat ke layar perak oleh syarikat produksi Neddo Works, dengan Nadia Khan sendiri bertindak sebagai penerbit, pengarah dan penulis skrip.
Nadia berkata, filem ini direalisasikan atas dorongan luar biasa daripada peminat novel yang menginginkan pengakhiran yang tuntas untuk kisah yang telah lama tertangguh.
“Kami menerima sokongan luar biasa sejak mula-mula melancarkan kempen crowdfunding pada Januari 2020.

“Melalui penjualan buku Musketeers, t-shirt dan cenderamata, kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM200,000,” katanya.
Bagaimanapun, projek ini tidak terlepas daripada cabaran besar apabila pandemik Covid-19 melanda, menyebabkan proses pembikinan filem tergendala untuk beberapa tahun.
Namun begitu, semangat dan komitmen tinggi daripada seluruh pasukan produksi akhirnya membuahkan hasil apabila penggambaran berjaya diselesaikan antara Disember 2023 dan Januari 2024.
Menariknya, meskipun filem ini adalah kesinambungan kepada siri televisyen terdahulu, Gantung: Musketeer Code dibina sebagai karya berdiri sendiri yang mampu dinikmati oleh penonton baharu.
Nadia berkata, meskipun terdapat sedikit kelainan daripada versi novel, naskhah ini masih mengekalkan semangat dan roh asal yang digarap dalam buku berkenaan.

“Bagi mereka yang tidak pernah menonton siri TV ataupun membaca novel, filem ini tetap mudah difahami.
“Ia mengangkat tema yang dekat dengan kehidupan tentang persahabatan, kenangan zaman sekolah dan juga kesilapan yang sering dilakukan sewaktu usia muda,” katanya lagi.
Dalam menampilkan semangat segar, beberapa watak utama menyaksikan penyesuaian semula barisan pelakon.
Watak Gibbs dan Farah yang dahulunya dilakonkan oleh Randy Pangalila dan Mentari de Marelle digantikan dengan lakonan mantap Ben Amir dan Shazia Rozaini.
Mereka bergandingan dengan pelakon asal seperti Ikmal Amry, Hafreez Adam dan pelakon Indonesia, Brandon Salim.
Turut memeriahkan barisan pelakon ialah nama-nama besar industri seperti Bront Palarae, Sofia Jane serta ramai lagi pelakon berbakat tanah air.

Filem Gantung: Musketeer Code dijangka menjadi satu lagi karya sinema tempatan yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, khususnya dalam mengetengahkan naratif gelap remaja, konflik dalaman dan persoalan moral yang mencabar persepsi.
Ia bukan sekadar sebuah cerita misteri, tetapi juga sebuah renungan tentang persahabatan, tanggungjawab dan kesan keputusan yang dibuat dalam usia yang rapuh.
Dengan sokongan daripada pembaca setia, penonton siri asal dan penggiat industri filem tempatan, Nadia Khan menzahirkan harapan agar Gantung: Musketeer Code bukan sahaja menepati jangkaan peminat, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam landskap filem adaptasi di Malaysia.
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 5 Jun 2025.

SINOPSIS
Gantung: Musketeer Code bermula dengan Khalil, seorang pengarah filem tersohor yang tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari teman sekolahnya, Farah untuk dia kembali ke sekolah lamanya kerana ada urusan yang belum selesai.
Khalil mengimbau kembali tragedi yang berlaku di sekolahnya 10 tahun lalu di mana dia (dahulu dikenali sebagai Ray) dan tiga orang sahabat baiknya Gibbs, KJ dan Troll dituduh menjadi punca seorang pelajar perempuan (Ratna) menggantung diri di auditorium sekolah.