PUTRAJAYA – Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2025 kembali buat kali kedua dengan penuh gemilang, meraikan pencapaian syarikat-syarikat yang menggabungkan inovasi perniagaan moden bersama prinsip dan etika Islam.
Majlis anugerah berprestij ini berlangsung di Le Meridien Hotel, Putrajaya dengan penyertaan usahawan tempatan dan antarabangsa yang menjadikan acara ini medan pertemuan pemain industri Islamik dari serata dunia.
Dianjurkan oleh KNKV Group dan diiktiraf oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders, IDEA 2025 mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai organisasi utama, termasuk CTOS Data Systems sebagai rakan semakan rasmi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai rakan akademik, firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai rakan guaman serta Yayasan Mihrab sebagai rakan kebajikan.

Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Profesor (Adjung) Adam Richman berkata, matlamat utama penganjuran anugerah ini adalah untuk membina keyakinan dan semangat dalam kalangan usahawan Muslim agar terus berani mengamalkan nilai Syariah dalam perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekonomi ummah yang beretika dan berdaya saing.
“Pemilihan CTOS sebagai sebahagian daripada proses penjurian adalah simbolik kepada pendekatan Islam terhadap keadilan dan ketelusan.
“Seperti yang digariskan dalam Surah Al-Hujurat, prinsip tabayyun adalah asas dalam menilai maklumat dan membuat keputusan yang adil,” katanya.
Majlis turut mendapat penghormatan dengan kehadiran Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar yang berkenan menyampaikan anugerah kepada para penerima.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang turut menyampaikan ucaptama penuh inspirasi.
Senator Dr. Zulkifli berkata, IDEA 2025 adalah bukti nyata bahawa kecemerlangan dan profesionalisme dalam Islam mampu menembusi pasaran global tanpa menanggalkan nilai asas agama.
“Islam bukan sahaja membawa mesej keimanan, tetapi juga sistem ekonomi dan sosial yang mampan.
“Anugerah ini membuktikan bahawa integriti, ketelusan dan tanggungjawab sosial adalah nilai universal yang boleh disepadukan dalam perniagaan,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan pendekatan penjurian yang menggunakan data CTOS sebagai satu langkah berani dan telus dalam menjaga kredibiliti platform anugerah, sambil menyifatkan CTOS sebagai “penjaga amanah yang membantu kita membuat keputusan yang adil dan bertanggungjawab.”
Penganjuran IDEA 2025 turut memperlihatkan pengiktirafan antarabangsa apabila syarikat luar negara seperti Muslim Pro (Singapura), Human Appeal (Australia) dan ZTE (China) menerima penghargaan atas pencapaian mereka dalam memperkasakan nilai Islam dalam landskap korporat global.

Senarai penerima tempatan yang turut diraikan termasuklah LBS Bina Group Sdn Bhd, AEON Bank Berhad, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Ajinomoto (M) Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Delima Oil Products Sdn Bhd, Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd dan MBG Fruits Sdn Bhd.
Syarikat lain seperti Perry Smith, Astro dan Ikhlas.com turut tersenarai sebagai antara penerima yang menyerlah pada tahun ini.
IDEA Award 2025 tidak hanya menjadi simbol kejayaan perniagaan Muslim, tetapi turut menandakan permulaan kepada sebuah gerakan ekonomi ummah yang inklusif, progresif dan berasaskan nilai-nilai Islam sejagat.
