GENTING HIGHLANDS –  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengumumkan perkembangan penting dalam usaha pengambilalihan FGV Holdings Berhad apabila Kerajaan Negeri Pahang secara rasmi bersetuju untuk menyertai sebagai rakan strategik di bawah status Persons Acting in Concert (PACs).

Penyertaan ini sekali gus memperkukuh pelaksanaan tawaran pengambilalihan sukarela (Voluntary Take Over Offer) yang sedang diusahakan oleh FELDA terhadap FGV.

Kerjasama strategik ini menandakan satu langkah signifikan dalam usaha FELDA memperkukuh semula penguasaan ke atas FGV Holdings Berhad sebuah entiti tersenarai awam yang memainkan peranan penting dalam sektor perladangan negara.

Dengan penyertaan Kerajaan Negeri Pahang sebagai PACs, FELDA memperoleh satu lagi sokongan institusi penting yang dapat membantu menjayakan proses penswastaan ini secara lebih teratur, tersusun dan berkesan.

Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, komitmen Kerajaan Negeri Pahang menyertai inisiatif ini mencerminkan keyakinan bersama terhadap keperluan untuk memperkukuh kedudukan strategik FGV sebagai tonggak utama dalam pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya dalam kalangan komuniti peneroka FELDA.

“Penyertaan Kerajaan Negeri Pahang sebagai PACs bukan sahaja mengukuhkan asas strategi pengambilalihan ini.

“malah membawa mesej jelas bahawa usaha untuk memperkasa FGV adalah usaha bersama demi kepentingan jangka panjang peneroka dan ekosistem FELDA secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa konsisten dalam menyokong setiap inisiatif yang digerakkan oleh FELDA demi kesejahteraan masyarakat peneroka.

Beliau berkata, penyertaan Kerajaan Negeri Pahang dalam kerjasama ini adalah satu manifestasi jelas kepada komitmen kerajaan negeri dalam menyokong agenda nasional yang menyasarkan pembangunan ekonomi negeri serta memperkukuh kelangsungan FGV sebagai entiti strategik.

“Kerajaan Negeri Pahang melihat penyertaan ini sebagai peluang untuk menjadi sebahagian daripada langkah reformasi korporat yang mampu memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat FELDA, khususnya di Pahang yang juga antara negeri dengan jumlah tanah rancangan FELDA terbesar di negara ini,” katanya.

Kerjasama antara FELDA dan Kerajaan Negeri Pahang ini dilihat bukan sahaja sebagai strategi korporat, malah sebagai satu pendekatan bersepadu dalam memperkukuh keseluruhan rantaian nilai perladangan yang berteraskan kelestarian dan pemerkasaan kewangan komuniti luar bandar.

Dengan penglibatan aktif kerajaan negeri, ia diyakini mampu memberi nilai tambah terhadap usaha pemulihan dan pemantapan FGV, sekali gus menjamin manfaat jangka panjang buat peneroka dan generasi baharu FELDA.

Langkah ini juga dilihat sebagai penegasan semula terhadap misi FELDA untuk memastikan pembangunan ekonomi peneroka tidak hanya tertumpu kepada hasil pertanian semata-mata, sebaliknya merangkumi strategi holistik yang menyentuh aspek kewangan, keusahawanan, pembangunan modal insan dan kelestarian institusi.

Penswastaan FGV menerusi kerjasama strategik ini diharap menjadi titik tolak kepada sebuah era baharu yang lebih kukuh bagi FELDA dan entiti-entiti berkaitannya, serta mampu menjadi contoh terbaik bagaimana sinergi antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri dapat digembleng bagi kepentingan rakyat dan negara.

By Cynthia

Leave a Reply