KUALA LUMPUR, 8 DISEMBER 2021 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meneruskan komitmennya untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang masih melanda dunia. Melalui program COOPCARE ANGKASA Prihatin COVID -19, ANGKASA pada hari ini menyumbang barangan keperluan asas kepada petugas barisan hadapan petugas Alam Flora di Kuala Lumpur.
Sumbangan ini dibuat demi menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab biarpun dalam keadaan pandemik masih belum reda. Sumbangan yang dibuat melalui Projek Barang Asas 100 (BA100) pada hari ini diserahkan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), YBhg. Dato’ Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Sebanyak 100 pek sumbangan dengan julah keseluruhan sejumlah RM5,000 telah diagihkan kepada para petugas Alam Flora hari ini.
Presiden ANGKASA ketika ditemul berkata, “ANGKASA amat menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas seragam seperti polis, dan bomba, petugas kesihatan, sukarelawan dan mana mana sektor pekerjaan yang meningkatkan kesejahteraan kehidupan masyarakat berada pada tahap yang optimum. Petugas pengurusan sisa pepejal juga tidak terkecuali dalam hal ini kerana mereka yang memastikan persekitaran yang kita diami sentiasa bersih. Rakyat Malaysia seharusnya memainkan peranan dan mempunyai kesedaran dalam pengurusan sisa pepejal agar dapat mewujudkan suasana yang lebih sihat dan kondusif untuk menjalankan aktiviti seharian.”
Beliau juga menyeru para petugas dalam bidang 3D (Dirty, Difficult and Dangerous) bagi menubuhkan koperasi sebagai platform untuk mereka menyuarakan isu dan cabaran semasa serta meningkatkan sosiekonomi khususnya dalam keadaan yang agak mencabar ketika ini.
“Kita tahu pekerjaan 3D ini mempunyai risikonya tersendiri jadi dengan menubuhkan koperasi, kebajikan anggota dapat dijaga sekiranya berlaku sebarang kesulitan atau masalah dalam kalangan pekerja. ANGKASA akan bantu mana-mana kumpulan atau organisasi yang berhasrat untuk menubuhkan koperasi dan pada masa yang sama bimbing mereka sekiranya memerlukan khidmat nasihat berkenaan produk dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh mereka.” kata Dato Dr. Abdul Fattah Abdullah
ANGKASA sentiasa komited melaksanakan program tanggungjawab sosial koperasi (CSR) bagi mewarnai sambutan jubli emas ANGKASA pada tahun ini. Sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada bulan Mac 2020, ANGKASA telah melaksanakan lebih 100 buah program CSR yang memberi manfaat barang asas dan kit kesihatan kepada lebih 60,000 penerima yang terdiri daripada anggota koperasi. golongan asnaf golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin bandar, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan petugas barisan hadapan di seluruh negara.