Selangor, 9 Disember 2021 – Program Pembangunan Keusahawanan Halal yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya SME Corp. Malaysia dijangka dapat membangun dan meningkatkan keupayaan PKS di dalam sektor Halal.

Program Peningkatan Keupayaan Keusahawanan Halal MEDAC yang dilaksanakan sejak dari tahun 2020 merangkumi fasilitasi serta bantuan kewangan kepada Perusahaan Kecil Mikro dan Sederhana (PMKS) untuk mendapatkan pensijilan Halal, peningkatan produk dan proses bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran, aktiviti penjenamaan dan pembungkusan produk serta promosi pemasaran.

YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam ucapan beliau berkata, “Sehingga kini, sebanyak sembilan puluh lima (95) PMKS dan Koperasi telah mengikuti Program ini sejak September 2020.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran logo pensijilan Halal syarikat serta sijil penyertaan syarikat di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Halal MEDAC. Syarikat Aducktive Food Sdn. Bhd. merupakan salah satu PMKS yang dibimbing di bawah Halal Technology Transformation Programme, Program Pembangunan Keusahawan Halal MEDAC yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia. Syarikat terlibat di dalam pengeluaran produk kudapan yang diperbuat daripada kepingan emping jagung (cornflakes).

Melalui inisiatif di bawah program ini, syarikat di jangka akan meningkatkan pengeluaran produk serta tahap automasi di dalam memenuhi keperluan pelanggan serta menembusi pasaran eksport dengan bantuan kewangan sebanyak RM200,000.00 serta bimbingan oleh Business Counselor SME Corp. Malaysia.

Majlis pelancaran pada hari ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg Dato’ Sri Syed Hussien Al Habshee, Pengerusi SME Corp. Malaysia; Encik Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dan, Encik Mohamad Anif bin Azami, Ketua Pegawai Eksekutif, Aducktive Food Sdn. Bhd.

Leave a Reply