KUALA LUMPUR, 16 Jun 2025 — Cadangan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera Wilayah Persekutuan (PTBWP) disambut baik dan disokong sepenuh hati oleh kepimpinan UMNO Bahagian Seputeh, yang sebulat suara meluluskannya semasa Mesyuarat Perwakilan 2025 yang diadakan semalam.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh menyatakan inisiatif tersebut sebagai satu langkah strategik penting demi mempertahan dan memperkasa kepentingan hartanah Bumiputera di pusat bandar, terutamanya di Wilayah Persekutuan, yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

PTBWP bukan hanya sebuah institusi tambahan, malah manifestasi dan instrumen yang ditunggu-tunggu akar umbi untuk memastikan tanah Bumiputera kekal di tangan Bumiputera dan dimajukan demi faedah rakyat.

PTBWP juga akan bertindak sebagai entiti pengawal selia yang proaktif, memastikan proses perancangan, pembangunan dan pengurusan tanah berjalan secara adil, telus dan memenuhi kepentingan masyarakat Bumiputera.

Antara cadangan yang diberi ialah:

✅ PTBWP ditubuhkan di bawah satu akta khas yang menjamin kuasa penuh pengurusan tanah Bumiputera di Wilayah Persekutuan;

✅ Setiap pembangunan semula atas tanah tamat tol wajib merangkumi peratusan pemilikan Bumiputera yang tidak boleh dilupus sewenangnya;

✅ Hanya pemaju yang bersetuju dengan model pembangunan pro-Bumiputera boleh diberi hak untuk melaksanakan projek;

✅ Satu audit menyeluruh harus dijalankan ke atas tanah-tanah strategik Bumiputera untuk dipantau dan diberi perlindungan yang lebih rapi.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan bin Muhammad Rafii, juga menekankan kepentingan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan bukan hanya sebuah pusat perniagaan dan pemerintahan, malah sebuah lambang jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera yang unggul, mampu bersaing dan memberikan kemakmuran yang adil dan saksama.

#PTBWP #Bumiputera #WilayahPersekutuan #UMNO #MohdRazlanRafii #PembangunanProBumiputera #TanahMelayu #HakBumiputera #JatiDiriMelayu #EkonomiBumiputera

Leave a Reply