KUALA LUMPUR, 21 Jun 2025 — Dalam usaha memperkukuh kedudukan dan masa depan bangsa Melayu dan Bumiputera, Sekretariat Gabungan IKHLAS Malaysia hari ini melancarkan satu petisyen kebangsaan bagi mendesak pemimpin politik Melayu dan Bumiputera agar segera mencari penyelesaian terhadap krisis kepimpinan negara yang kian meruncing.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Mohd Ridzuan Abdullah, petisyen ini merupakan sebahagian daripada sokongan kepada gerakan “Payung Besar”, sebuah inisiatif yang didukung oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi memperjuangkan maruah serta hak masyarakat Melayu yang semakin terpinggir.

Antara tuntutan utama dalam petisyen tersebut termasuklah:

Menyatukan pemimpin Melayu-Bumiputera tanpa mengira parti politik demi masa depan bangsa dan negara.

Menolak penyalahgunaan kuasa, ugutan dan sekatan terhadap suara dan hak kaum Melayu serta memastikan tanah-tanah adat tidak digadai atau dirampas.

Menyeru rakyat Malaysia menolak penipuan dasar oleh pemimpin politik dan menuntut ketelusan dalam pentadbiran.

Menginsafkan bangsa Melayu tentang kehilangan kuasa mutlak jika gagal bangkit dan mempertahankan hak di bawah Perlembagaan.

Meningkatkan kuasa ekonomi Bumiputera, melalui pembukaan penempatan perniagaan di bandar-bandar utama.

Memperkasa pendidikan Bumiputera, melalui simposium dan dasar pemerkasaan institusi pendidikan Melayu.

Meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam teknologi, kemahiran dan bidang digital ke arah negara maju.

Mengimbangi komposisi penempatan kaum, dengan meningkatkan kehadiran masyarakat Melayu di bandar-bandar kepada 65-70% untuk menstabilkan kuasa politik dan ekonomi negara.

Mohd Ridzuan turut menegaskan bahawa pelbagai bentuk penyalahgunaan institusi termasuk mahkamah dan jentera kerajaan semakin membimbangkan — antaranya penyitaan harta individu tanpa proses perundangan yang betul serta pemberian kuasa imuniti secara selektif.

Beliau menggesa seluruh rakyat yang prihatin untuk menyokong petisyen ini demi mengembalikan maruah, keadilan, dan keseimbangan dalam sistem politik dan pentadbiran negara.

“Kita tidak boleh lagi menjadi penonton dalam negara kita sendiri. Hak dan suara Melayu-Bumiputera mesti dipertahankan, bukan ditenggelami oleh permainan politik yang menindas,” tegas beliau.


#PayungBesar #BangkitMelayu #KeadilanUntukBumiputera #SelamatkanNegara #KuasaMelayu #HakBumiputera #GabunganIKHLAS #ReformasiPolitik #TunM2025 #PetisyenRakyat

Leave a Reply