×

Usul terima kembali Hishammuddin perlu dilihat secara menyeluruh – Rosni Zahari

Usul terima kembali Hishammuddin perlu dilihat secara menyeluruh – Rosni Zahari

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari menyatakan cadangan menerima semula bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke dalam parti perlu dipertimbang dengan teliti oleh pucuk pimpinan UMNO.

Katanya ini dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk sentimen akar umbi dan keperluan penyatuan dalaman parti.

Rosni berkata, walaupun Hishammuddin mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pernah memegang portfolio penting seperti Menteri Pertahanan serta Menteri Dalam Negeri, serta memiliki penyokong tradisional terutama di Johor, isu kesetiaan kepada parti masih menjadi persoalan yang besar dalam kalangan ahli.

“Tak dinafikan pengalaman beliau boleh bantu kukuhkan parti, terutama dari segi keselamatan dan dasar negara.

“Namun kita juga tidak boleh lupa apa yang berlaku sewaktu UMNO hilang kuasa, apabila ramai pemimpin termasuk Hishammuddin dilihat tidak bersama parti secara terbuka,” katanya.

Tambah Rosni, suasana politik negara yang masih belum stabil ketika ini menuntut semua ahli dan pemimpin UMNO bersatu dan berhenti daripada mewujudkan kumpulan-kumpulan tertentu dalam parti.

“Kita sudah penat dengan perpecahan dalam UMNO.

“Kalau terima Hishammuddin kembali dan ini mengakibatkan kem muncul semula seperti orang Hishammuddin, orang Zahid. Ini akan hanya melemahkan UMNO. Kita perlu bersatu menghadapi PRU akan datang,” tegasnya.

Rosni turut mengingatkan peranan Hishammuddin semasa pergolakan politik di Sabah turut mencalarkan imej parti apabila ramai pemimpin UMNO negeri itu keluar parti dan menyertai parti lain.

“Kita tak boleh lupa kesannya terhadap kekuatan UMNO di Sabah. Kini, kita perlu beri peluang kepada pemimpin-pemimpin baru untuk bangkitkan semula UMNO,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, keputusan sama ada Hishammuddin diterima semula atau tidak adalah hak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Namun, katanya, seandainya Hishammuddin benar-benar ingin kembali, beliau perlu menunjukkan kesetiaan mutlak dan berhenti mendorong ahli untuk melompat parti.

“Akhirnya, kita kena lihat sama ada akar umbi boleh terima atau tidak. Jangan sampai mesej bercanggah dihantar kepada ahli-ahli parti. Fokus utama UMNO hari ini adalah kepada reformasi dan pembaharuan,” katanya.

Rosni menegaskan UMNO kini berada dalam proses memperkukuh struktur dan kepercayaan rakyat, dan apa-apa keputusan berhubung kepimpinan harus berpaksikan kepada perpaduan dan hala tuju masa depan parti.