
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2025 – ASEAN TVET Friendly Match 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang hari ini dalam Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, WTC Kuala Lumpur. Acara ini menyaksikan pengiktirafan ke atas para pemenang yang telah menonjolkan kemahiran cemerlang dalam sembilan bidang utama sektor vokasional dan teknikal.
Pertandingan selama empat hari ini menghimpunkan 40 peserta muda dari 12 negara, termasuk negara-negara ASEAN dan negara jemputan dari rantau Asia. Mereka diuji dalam persekitaran berintensiti tinggi berdasarkan WorldSkills Occupational Standards (WSOS), menjadikan pertandingan ini medan persiapan penting menjelang WorldSkills ASEAN ke-14 di Manila dan WorldSkills Asia ke-3 di Taipei.
Antara bidang pertandingan termasuk:
Penerapan Bata (Bricklaying)
Pendawaian Elektrik (Electrical Installations)
Pertukangan Kabinet (Cabinet Making)
Pertukangan Kayu (Carpentry)
Paip & Pemanasan (Plumbing and Heating)
Penyejukan & Penyaman Udara (Refrigeration and Air Conditioning)
Kimpalan (Welding)
Pembinaan Digital (Digital Construction)
Rekabentuk Kejuruteraan CAD (Mechanical Engineering CAD)
Malaysia tampil cemerlang dengan mendominasi majoriti kategori, antaranya:
Misto Mikin (Bricklaying)
Khairul Idham (Cabinet Making)
Luqman Nurhafizi (Carpentry)
Muhamad Nashrul (Digital Construction)
Muhammad Haziq (Electrical Installations)
Muhammad Adam Haris (Plumbing & Heating)
Muhammad Haris Irfan (Welding)
Penganjuran pertandingan ini adalah kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan CIDB Malaysia, serta mendapat sokongan daripada penaja industri tempatan. Kemudahan latihan dan pertandingan disediakan di beberapa lokasi utama seperti ABM Wilayah Tengah, Pusat Latihan FITEC, CIDB Technologies, dan MYBIM Centre.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti bahawa TVET bukan sekadar alternatif, malah laluan utama ke arah masa depan kerjaya yang mapan. “Negara-negara maju seperti Jerman dan China berkembang hasil pelaburan dalam bidang kemahiran. Kini, Malaysia juga berada pada landasan itu,” ujarnya.
Dalam majlis sama, kisah inspirasi turut dikongsi oleh Muhammad Din, pakar penilai pertandingan kategori Bricklaying. Beliau kini bekerja di United Kingdom sebagai profesional “bricklayer” dengan pendapatan mencecah RM25,000 sebulan – membuktikan potensi sebenar lulusan TVET jika diberi peluang dan latihan berkualiti.

Sebagai langkah seterusnya, kerajaan menyasarkan pembentukan lebih ramai tenaga mahir tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, sekaligus memperkukuh daya saing industri pembinaan negara.
Maklumat lanjut dan senarai penuh pemenang boleh didapati di www.aseantvet.my
#ASEANTVET2025 #TVETMalaysia #CIDBMalaysia #WorldSkills #JuaraKemahiran #BanggaTVET #KerjayaBermulaDenganTVET #MalaysiaBoleh #AnakTVETGemilang #KemahiranUntukMasaDepan