“Tak Ingin Usai Di Sini” filem cinta sarat emosi dari Indonesia temui penonton Malaysia Julai ini
KUALA LUMPUR – Sebuah kisah cinta yang menyentuh jiwa bakal menghiasi layar perak di Malaysia apabila filem Indonesia berjudul Tak Ingin Usai Di Sini mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 3 Julai ini.
Filem ini adalah adaptasi daripada karya terkenal Korea Selatan, More Than Blue, yang pernah mencuri perhatian ramai pada tahun 2009.
Diarahkan oleh Robert Ronny, nama yang tidak asing dalam industri filem Indonesia menerusi filem The Most Beautiful Girl In The World, naskhah ini menampilkan barisan pelakon berbakat besar seperti Bryan Domani, Vanesha Prescilla dan Davina Karamoy.

Mereka membawa watak-watak yang sarat dengan emosi dan ketulusan dalam meneroka makna sebenar pengorbanan dan cinta yang tidak pernah terucap.
Diterbitkan oleh Paragon Pictures bersama Ideosource Entertainment dan Horizon Film Entertainment sebagai pengedar rasmi di Malaysia, Tak Ingin Usai Di Sini sudah pun mencetuskan fenomena di Indonesia.
Dalam tempoh tiga hari pertama tayangannya sejak 5 Jun lalu, ia telah meraih lebih 200,000 penonton satu angka yang membuktikan kekuatan naratif dan emosi filem ini.
Lebih mengujakan, filem ini turut menjadi perbualan hangat di media sosial, khususnya di TikTok, apabila ribuan video reaksi dan ulasan positif dikongsikan oleh penonton yang rata-ratanya mengakui menitiskan air mata seusai menontonnya.

Kejayaan luar biasa itu mendorong pengedar untuk meluaskan tayangan ke Singapura dan Brunei, selain Malaysia.
Mengisahkan tentang dua sahabat rapat sejak zaman remaja, K dan Cream, filem ini menyelami sisi cinta yang pendam dan pengorbanan yang tidak kelihatan di permukaan.
K, yang menaruh cinta dalam diam terhadap Cream, memilih untuk menjauh apabila menyedari bahawa kehidupannya mungkin tidak akan lama.
Namun, cinta sejati tidak pernah semudah itu dilupakan dan dalam diam, mereka berdua berdoa agar kisah mereka tidak berakhir di sini.

Dengan naratif yang mendalam, lakonan yang menyentuh perasaan dan sinematografi yang elegan, Tak Ingin Usai Di Sini menjanjikan satu pengalaman sinematik yang akan terus tinggal dalam ingatan.
Ia bukan sekadar kisah cinta, tetapi sebuah refleksi tentang perpisahan, harapan dan keikhlasan yang merentasi batas kata.

Pencinta filem romantik pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan naskhah ini yang bakal mengisi ruang emosi mereka bermula 3 Julai 2025 di pawagam seluruh negara.
Post Comment
You must be logged in to post a comment.