oplus_0

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2025 – Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah melakar satu lagi sejarah penting apabila berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) serta Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi tahun 2025 dengan jayanya. Presiden PSM, Dato’ Mohd Sumali Reduan dalam kenyataan medianya berkata, pelbagai pindaan perlembagaan telah dibentangkan dan diluluskan, termasuk penjenamaan semula organisasi kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.

Antara pindaan utama lain termasuk penglibatan wakil dari Sabah, Sarawak dan Labuan dalam barisan Naib Presiden, serta penambahbaikan struktur perwakilan dan sistem pengundian. Pindaan ini berjaya mendapat sokongan lebih dua pertiga perwakilan dan kini sedang menunggu kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Dalam AGM yang turut melibatkan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi, Datuk Seri Abdul Puhat Nayan dan YB Senator Datuk Abdul Halim Suleiman dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala tiga Naib Presiden baharu ialah Datuk Abu Jimi, Yang Mulia Tengku Zaihan dan Saudara Muhamad Husni.

Presiden PSM turut menegaskan proses pemilihan dijalankan oleh jawatankuasa bebas bagi memastikan ketelusan tanpa campur tangan dalaman. Beliau menyifatkan suasana pemilihan berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan harmoni tanpa sebarang konflik, hasil kerjasama erat yang terjalin sejak 2022.

Dato’ Mohd Sumali turut menyentuh kepentingan pelaksanaan program pembangunan sukan NSTDP (National Sepaktakraw Development Program) yang kini sedang giat dijalankan bersama kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Fokus utama kini adalah memastikan program ini benar-benar berakar umbi serta memberi impak jangka panjang termasuk memperkasa penyertaan wanita dalam arena sepaktakraw.

Beliau menambah bahawa NSTDP yang melibatkan Sekolah Sukan, PLD (Pusat Latihan Daerah) dan peringkat negeri akan menjadi tapak lahirnya bakat-bakat untuk diketengahkan ke Akademi Sepaktakraw di Kompleks Sukan Kampung Baru.

Mengenai pelantikan jawatan Setiausaha, Bendahari dan Penolong Bendahari, Dato’ Sumali memaklumkan bahawa ia akan diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi yang pertama dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang.

Dalam perkembangan antarabangsa, beliau menyerahkan kepada ISTAF (International Sepaktakraw Federation) untuk mengumumkan AGM mereka dan menegaskan bahawa mana-mana wakil PSM yang layak boleh mewakili negara dalam jawatan tertinggi ISTAF, walaupun secara tradisinya diketuai oleh wakil dari Thailand.

Tahniah Barisan Kepimpinan Baharu Dipilih.

oplus_0

#SepaktakrawMalaysia #AGMPSM2025 #NSTDP #SukanUntukSemua #PemimpinBaharuPSM #SepaktakrawWanita #TransformasiSepaktakraw #BersatuDemiSukan #MalaysiaBoleh #PersekutuanSepaktakraw

Leave a Reply