KUALA LUMPUR, 20 Julai 2025 – Seramai 160 Ketua UMNO Bahagian telah sebulat suara mendesak pelaksanaan segera Titah Addendum berhubung tahanan rumah untuk Datuk Seri Najib Razak, yang sehingga kini masih belum dilaksanakan walaupun telah wujud pengesahan dari pihak Istana Negara dan pengakuan di mahkamah.

AJK UMNO Bahagian Setiawangsa, Hussein, dalam satu kenyataan menyelar kelewatan pelaksanaan titah tersebut dan mempersoalkan ketegasan kepimpinan tertinggi parti serta kerajaan.

“Apabila Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau mana-mana Menteri nak angkat sumpah jawatan, mereka kena sembah kepada Yang di-Pertuan Agong. Surat watikah pun datang dari Istana Negara. Tapi bila ada Surat Titah Addendum yang sah dari Istana, boleh pula mereka persoal di mahkamah?” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah mengesahkan kewujudan titah tersebut dua hari sebelum perbicaraan di mahkamah tahun lalu. Namun, terdapat segelintir pihak yang terus mencabar kesahihan surat itu.

Hussein menegaskan bahawa suara akar umbi UMNO sudah hilang sabar, dan gerakan oleh Ketua-Ketua Bahagian ini adalah satu isyarat jelas, bukan hanya kepada kerajaan tetapi juga kepada “boss-boss” dalam parti.

“Kami dah hampir 600 hari tunggu. Setiap tahun cerita benda yang sama. Tahun lepas cakap benda ni masa perasmian mesyuarat bahagian, tahun ni pun ulang semula. Tapi tindakan? Mana dia?” katanya dengan nada kecewa.

Menurut Hussein lagi, Ketua UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Shafie Abdullah telah membawa suara majoriti Ketua Bahagian lain dalam isu ini kerana merasakan suara mereka tidak lagi dipedulikan.

“Kami ni bukannya baru nak bersuara. Dah banyak kali, tapi bila sampai ke atas… nyanyi lagu yang sama. Sampai bila nak nyanyi lagu yang tak ada penamat?” ujarnya sinis.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan bahawa jika Najib Razak akhirnya diberi pengampunan atau dibenarkan menjalani tahanan rumah, akan muncul individu tertentu yang mahu ‘claim’ sebagai juara dan mengambil kredit atas usaha orang lain.

Dalam masa sama, Hussein menyokong penuh gerakan oleh 160 Ketua Bahagian tersebut dan menggelarkannya sebagai satu “Usaha Hilang Sabar” yang wajar dihormati kerana ia datang dari suara akar umbi yang semakin kecewa dengan kelambatan pelaksanaan titah diraja.

#TitahAddendum #NajibRazak #UMNO2025 #Bossku #TahananRumah #KrisisKepimpinan #IstanaNegara #SuaraAkarUmbi #ReformasiUMNO #KeadilanUntukNajib

Leave a Reply