KUALA LUMPUR, 19 Julai 2025 – Pelantikan tiga jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara yang diumumkan oleh Istana Negara baru-baru ini disambut baik oleh Timbalan Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial (SEKPUR), Shahbudin Embun, yang menyifatkan langkah itu sebagai penamat kepada pelbagai spekulasi dan polemik politik yang mengaitkan Perdana Menteri (PMX) dalam urusan pelantikan berkenaan.
Tiga jawatan penting yang diumumkan adalah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, dan Ketua Hakim Mahkamah Sabah dan Sarawak. Ketiga-tiga individu tersebut dijadualkan mengangkat sumpah pada 28 Julai ini.
Antara yang mencuri perhatian ramai adalah pelantikan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara, yang mana beliau merupakan individu pertama yang pernah aktif dalam politik sebelum dilantik ke jawatan tertinggi institusi kehakiman negara.
“Beliau pernah menjadi Senator dua penggal, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Namun, pelantikannya dibuat selepas melalui saringan ketat dan menurut Fasal 122B Perlembagaan Persekutuan,” ujar Shahbudin.
Beliau menambah, pelantikan Wan Ahmad Farid bukan sahaja memenuhi syarat perundangan, malah telah mendapat pengiktirafan daripada badan profesional seperti Majlis Peguam Malaysia yang memuji ketelusan dan integriti beliau dalam membuat keputusan sebagai hakim, termasuk kes di mana beliau menarik diri kerana beranggapan dirinya tidak layak.
Mengulas mengenai kritikan dan desakan segelintir pihak termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Shahbudin menyeru agar semua pihak menghentikan spekulasi liar dan tidak membuat tuduhan tanpa asas.
“Segala proses pelantikan ini adalah sah dari sudut perlembagaan. Tiada tangan ghaib. PMX hanya menyampaikan senarai nama yang melalui proses Majlis Raja-Raja dan telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.
Shahbudin turut berkongsi bahawa bekas Perdana Menteri Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menasihati Wan Ahmad Farid supaya memegang prinsip keadilan bukan hanya demi dunia, malah untuk akhirat.
“Saya percaya Ketua Hakim Negara yang baharu ini akan memartabatkan institusi kehakiman negara ke tahap tertinggi dan mendapat penghormatan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya mengakhiri kenyataan.
#KetuaHakimNegara #PMX #WanAhmadFarid #KeadilanUntukSemua #InstitusiKehakiman #ShahbudinEmbun #PelantikanHakim #MalaysiaBaharu #MajlisRajaRaja #KebangkitanKeadilan