Fariz Hazurin Bawa Dua Usul Panas di Mesyuarat Pemuda UMNO Subang: Had Umur & Isu Najib Jadi Tumpuan
SUBANG, 27 Julai 2025 — Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Sri Fariz Hazurin Ismail tampil membawa dua usul penting dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang yang berlangsung hari ini, sekaligus menarik perhatian perwakilan dan pemerhati politik tanah air.
Usul pertama menyentuh cadangan mengehadkan umur Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada 40 tahun, selaras dengan syarat Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Menurut Fariz Hazurin, cadangan ini adalah sebahagian daripada usaha meremajakan parti seperti yang diperjuangkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr Akmal Salleh.
“Ini selari dengan hasrat untuk memastikan kesinambungan kepimpinan muda dan memperkukuh peranan Pemuda sebagai nadi parti,” katanya.
Usul kedua pula menggesa agar Perdana Menteri melaksanakan Titah Addendum berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Fariz juga menegaskan bahawa usul tersebut bukan untuk mendesak atau meminta habuan, sebaliknya satu bentuk solidariti terhadap perjuangan dan prinsip.
“Saya tegaskan bahawa kami tidak mengharapkan sebarang ganjaran atau jawatan dalam GLC negeri. Tanggungjawab tetap dilaksanakan walaupun tanpa jawatan. Kami berjuang atas dasar amanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fariz menyentuh tentang potensi kawasan Subang yang kini digelar ‘kerusi hitam’, tetapi menurutnya, tidak mustahil untuk UMNO merampas kembali kerusi tersebut sekiranya gerak kerja diteruskan secara berstrategi dan konsisten.
“Saya percaya, orang Melayu di sini sebenarnya merindui kehadiran UMNO. Mereka rindukan pemimpin muda yang dekat dengan rakyat. Dan inilah masa untuk kita buktikan bahawa UMNO masih relevan,” tambah beliau.
Fariz turut memberi contoh kejayaan YB Fazli dan YB Duyong yang memenangi kerusi di kawasan ‘hitam’ melalui kerja keras tanpa mengira bangsa dan fahaman politik.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru semua perwakilan agar kembali ke akar umbi dan mengekalkan momentum perjuangan demi mengangkat semula martabat parti keramat UMNO.
#UMNOMuda #RejuvenasiUMNO #PemudaBangkit #FarizHazurin #UMNOSubang #TitahAddendum #KembalikanNajib #PolitikMuda #KerusiHitam #RakyatDidahulukan