KUALA LUMPUR, 27 Julai 2025 – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, menyifatkan perhimpunan jalanan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak memberi sebarang kesan sah dari sudut perlembagaan mahupun undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa Anwar masih sah sebagai Perdana Menteri ke-10 selagi Parlimen tidak dibubarkan.
Namun begitu, Dr. Azam menarik perhatian kepada jumlah kehadiran anak muda, khususnya Melayu, yang dianggarkan mencecah sehingga 100,000 orang sebagai tanda kebangkitan suara rakyat.
“Yang penting ialah siaran langsung dari saluran seperti Astro Awani dan Malaysia Gazette menunjukkan ratusan ribu penonton. Itu adalah tanda protes senyap yang mahu Anwar turun,” ujar beliau.
Menurut Dr. Azam, populariti Anwar kian merosot disebabkan kegagalan melaksanakan janji-janji sepanjang tiga tahun terakhir, termasuk pemberian bantuan yang dianggap tidak menyeluruh dan janji harga minyak yang belum terlaksana.
Beliau turut mengkritik pendekatan politik jalanan yang menurutnya merupakan taktik yang pernah digunakan oleh Anwar sendiri ketika bergiat dalam demonstrasi masa lalu.
“Dulu Anwar jadi Perdana Menteri dari jalanan, sekarang dia diturunkan dengan cara yang sama. Politik Malaysia kini seperti sarkas – siapa naik, orang nak turunkan; siapa turun, orang lain nak naik. Rakyat sudah muak,” tambah beliau.
Dr. Azam menegaskan bahawa meskipun protes tersebut tidak menjejaskan struktur kerajaan secara langsung, ia memberi impak politik kepada parti-parti dalam kerajaan, terutamanya PKR dan DAP.
“Kita tunggu dan lihat, tetapi kesan politik kepada parti yang memerintah pasti ada,” katanya.
#AnwarTurun #ProtesSenyap #UMNOBangkit #KerajaanMadani #PolitikMalaysia #AnakMudaBersuara #SarkasPolitik #JanjiTidakDitepati #SuaraRakyat #TurunNaikPM