ELMINA, 29 Julai 2025 – Negeri Johor bakal mencatat sejarah baharu apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan perkhidmatan teksi dan e-hailing elektrik sepenuhnya, dengan pelancaran rasmi akan berlangsung pada Rabu, 30 Julai 2025.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Big Blue Taxi, Dato’ Shamsubahrin Ismail, pelancaran tersebut akan diadakan di Cape EMS Berhad, PLO 227A, Jalan Siber 1A, Kawasan Perindustrian Senai, bersebelahan Lapangan Terbang Senai, pada jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

“Negeri Johor telah kami pilih sebagai lokasi pertama perkhidmatan ini, melibatkan seluruh negeri termasuk Desaru, Kulai, Senai, dan Johor Bahru, bukan hanya tertumpu di bandar utama,” katanya.

Dalam inisiatif perintis ini, sebanyak 6,000 unit kenderaan teksi elektrik disediakan untuk pemandu teksi dan e-hailing yang berminat beralih kepada pengangkutan mesra alam. Menariknya, program ini turut disokong oleh TERAJU yang akan menyalurkan bantuan pendahuluan kewangan kepada pemandu yang ingin memiliki kenderaan tersebut.

Pelancaran turut akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Big Blue dan JomCharge, penyedia kemudahan pengecasan EV terbesar di Malaysia. Rangkaian ini akan membina 2,000 stesen pengecasan di seluruh negeri Johor, lengkap dengan kemudahan pengecasan pantas (DC) dan biasa (AC).

“Kami juga akan memperkenalkan Hub Charging Airport pertama untuk pemandu teksi berehat dan mengecas kenderaan di Senai Airport. Ini adalah langkah ke hadapan ke arah pengangkutan awam berasaskan tenaga hijau (green energy) yang mampan,” tambah beliau.

Pemandu yang berminat untuk menyertai program ini diminta hadir dengan membawa dokumen dalam bentuk softcopy seperti IC, lesen memandu, lesen PSV dan dokumen berkaitan.

“Ini bukan sahaja memperkasakan pengangkutan hijau, tetapi juga satu persediaan bagi syarat kemasukan ke Singapura, di mana kerajaan negara itu dijangka meluluskan hanya kemasukan kenderaan elektrik dari Malaysia dalam masa terdekat,” ujar Dato’ Shamsubahrin.

Pelancaran ini dijangka menarik perhatian bukan sahaja dari kalangan pemandu, malah pelabur dan pemerhati industri mobiliti yang sedang menyaksikan perubahan landskap pengangkutan awam negara ke arah transformasi lestari dan moden.

Hubungi 011-1103 9574 untuk pendaftaran teksi.

#TeksiElektrik #EVJohor #GreenTransportMY #BigBlueTeksi #JohorGoGreen #TransformasiPengangkutan #JomCharge #TeksiModen #EHalilingElektrik #MalaysiaKeArahHijau

Leave a Reply