KUALA LUMPUR – Dalam menghadapi persaingan pasaran global yang semakin sengit, jenama-jenama tempatan diseru agar tidak terus bergantung kepada strategi jangka pendek yang bersifat sementara, sebaliknya segera merangka pendekatan mampan berasaskan data dan nilai jika ingin kekal relevan dan berdaya saing.

Seruan itu dizahirkan dalam penganjuran National CEO Forum 2025 (NCF2025), sebuah platform eksklusif yang menghimpunkan lebih 200 tokoh perniagaan, ketua pegawai eksekutif, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pembuat dasar bagi membincangkan hala tuju strategik jenama menjelang tahun 2026.

Bertemakan “Brand Growth and Focus 2026”, forum ini dianjurkan oleh Muslim Insiders Chamber of Commerce dengan kerjasama KNKV Group dan disokong oleh CTOS Data Systems.

Forum ini diadakan sebagai respons terhadap laporan Interbrand 2024 yang mendedahkan kerugian nilai belum direalisasi berjumlah lebih USD200 bilion (kira-kira RM947 bilion) di peringkat global dalam tempoh dua tahun berpunca daripada strategi penjenamaan yang tidak mampan dan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025 dengan skor 46.1 turut berdepan cabaran besar dalam memperkukuh pengaruh serta daya saing jenama negara di pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Operasi CTOS, Lee Shin Mei berkata, perubahan nilai jenama berlaku dalam kadar yang sangat pantas, seiring dinamik pasaran.

Oleh itu, katanya, penggunaan data yang tepat adalah kunci untuk membina strategi penjenamaan yang kukuh dan berdaya tahan.

“Kami di CTOS berperanan sebagai penyedia kecerdasan pasaran yang membantu pemilik jenama memahami kedudukan sebenar mereka.

“Ini penting untuk memastikan perancangan masa depan dilakukan dengan lebih bijak dan berfakta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof. Adj. Adam Richman berkata, jenama yang gagal beradaptasi akan ketinggalan.

Beliau menyarankan pendekatan naratif jenama disemak semula supaya lebih mencerminkan nilai masyarakat dan membina hubungan emosional yang tulen dengan pengguna.

“Jenama hari ini tidak boleh hanya menjual produk. Mereka mesti menjual cerita, visi dan perjuangan.

“Naratif yang jujur dan relevan mampu memupuk kepercayaan jangka panjang dalam minda pengguna,” katanya.

Antara jenama terkemuka yang turut mengambil bahagian dalam forum ini termasuklah Tabung Haji, Beras Jasmine, Kino Himitsu, Saudi Airlines dan Seri Sutera Travels.

Mereka mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi terhadap keperluan kepimpinan strategik dan inovasi dalam dunia perniagaan masa kini.

Forum ini turut mendapat sokongan daripada SIRIM QAS International selaku Rakan Inovasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Rakan Strategik, serta firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) selaku Rakan Guaman Rasmi.

Antara pengisian utama forum termasuk taklimat pasaran oleh CTOS yang mengupas status kesihatan jenama, analisis trend kredit dan prospek keyakinan pengguna bagi tahun 2026.

Sesi meja bulat tertutup turut diadakan, memberi ruang kepada ketua-ketua industri berkongsi pandangan mengikut sektor masing-masing, selain sesi jaringan profesional yang membuka potensi kerjasama baharu antara peserta.

Sebagai langkah susulan, KNKV Group akan melaksanakan pemantauan berstruktur terhadap jenama-jenama yang terbabit bagi memastikan strategi yang dibangunkan terus berkesan dan memberikan hasil jangka panjang.

Prof. Adam berkata, kekuatan sesebuah perniagaan moden terletak pada semangat kolaborasi serta kemampuan untuk bergerak secara kolektif.

“Kita akan bergerak lebih jauh jika kita bergerak bersama. Perkongsian pintar dan naratif yang bersepadu adalah kunci kepada kejayaan perniagaan masa kini,” katanya lagi.

Orang ramai, khususnya pemilik perniagaan tempatan, digalakkan untuk mendapatkan khidmat rundingan jenama serta strategi kandungan melalui laman rasmi KNKV Group di www.knkvgroup.com.

By Cynthia

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f